Wednesday, 13 May 2009

BAM sedia bantu pemain Laos hadapi Sukan SEA


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedia membantu Laos menyediakan skuad yang lebih mantap untuk menghadapi temasya Sukan SEA ke-25 di Vientiane pada 9 hingga 18 Disember depan.

Setiausaha Kehormat BAM, Ganga Rao berkata, BAM bersedia melatih pemain Laos dalam masa yang terdekat ini agar pemain negara tersebut tidak mengalami kekalahan teruk dalam acara itu nanti.

Laos, selaku tuah rumah, dengan penduduk seramai 6.5 juta orang, membariskan beberapa pemain seperti perseorangan lelakinya, Phonepasith Phengsengcham untuk memenangi pingat pada temasya tersebut.

Laos tidak pernah memenangi sebarang pingat dalam acara badmin- ton sepanjang penyertaannya dalam Sukan SEA.

Persekutuan Badminton Kebangsaan Laos (PBKL) sejak tiga tahun lalu telah mendapat khidmat jurulatih China untuk membimbing pemain negara itu menghadapi dua temasya Sukan SEA (2007 di Korat, Thailand) dan tahun ini kini di Vientiane.

Di samping mendapat bimbingan jurulatih China, PBKL telah menyatakan hasrat untuk mendapat khidmat kejurulatihan daripada BAM.

Hasrat ini disampaikan semasa lawatan Pengurus Pentadbiran BAM, Ahmad Idris yang mengikuti rombongan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menghadiri sesi perbincangan dan pemantauan kemudahan asas di Vientiane minggu lepas.

Selain bantuan kejurulatihan, BAM juga bersedia membantu dari sudut teknikal termasuk melatih pengadil dan penjaga garisan dari negara itu.-BERNAMA

No comments: