Friday, 22 May 2009

Shahidan Belum Putus Cabar Tunku Imran


KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kasim akan berbincang dengan beberapa persatuan sukan sebelum membuat keputusan sama ada akan mencabar penyandang jawatan presiden Majlis Olimpik Malaysia Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar pada mesyuarat agungnya 30 Mei ini.

"Saya hanya akan bertanding sekiranya kehadiran saya menguntungkan semua 34 persatuan sukan kebangsaan yang bernaung di bawah MOM.

"Tetapi sekiranya kehadiran saya hanya memecah belah kepimpinan sukan yang bernaung di bawah MOM, lebih baik saya tarik diri kerana saya tidak ingin menjadi penyebab kepada kerosakan tersebut," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Katanya beliau bagaimanapun sedia untuk membawa perubahan dalam pentadbiran MOM sekiranya ada pihak yang inginkan perubahan itu.

Shahidan, yang juga Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, Presiden Persatuan Kabaddi Malaysia dan Presdien Persatuan Bola Sepak Perlis, pernah dicalonkan untuk menentang Tunku Imran pada pemilihan MOM yang lepas pada Mei 2007 tetapi menarik diri beberapa minggu sebelum pemilihan.

Pada pemilihan itu, beliau dicalonkan oleh Persatuan Kriket Malaysia.

-- BERNAMA

No comments: