Friday, 15 May 2009

Saya masih mampu beri sumbangan

Oleh Meor Hisham Zulkifli
sham@bharian.com.my

TANPA mahu mendabik dada, Setiausaha Kehormat MOM menegaskan betapa beliau merasakan dirinya masih mampu memberikan sumbangan bermakna kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), terutama dalam membela dan mengukuhkan persatuan sukan kebangsaan.

Sambil menjelaskan betapa kedudukan MOM kini sudah jauh lebih baik berbanding sebelum ini, Setiausaha Kehormat MOM yang bakal mempertahankan jawatan Setiausaha Kehormat MOM pada Mei ini, menegaskan masih banyak perkara yang mahu dibereskan di badan induk itu.

“Sepanjang 16 tahun saya berkhidmat dengan MOM, semua persatuan dan atlit bebas datang untuk membincangkan segala masalah yang mereka hadapi. Saya tidak pernah mengamalkan sikap birokrat.

“Mereka boleh membuat pelbagai tuduhan tetapi pada hakikatnya, semua persatuan sukan sentiasa mendapat bantuan saya,” katanya sambil berseloroh MOM tidak pula meletakkan kunci elektronik di pejabat kerana mahu memudahkan persatuan dan atlit berurusan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuduhan yang dilemparkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menuduhnya bersikap birokratik dan tidak banyak membantu persatuan-persatuan kecil.

Setiausaha Kehormat MOM berkata, sikap MOM yang tidak mahu mencampuri urusan dalaman badan persatuan sukan mungkin menjadi punca terhadap tuduhan itu, tetapi menegaskan, andai mereka datang ke MOM, beliau pasti menjadi orang pertama yang membantu.

“Tidak kira apa juga persatuan yang datang, saya pasti membantu. Lihat contoh apa yang berlaku pada taekwondo dan persatuan lain.

“Saya menjadi orang yang pertama membantu mereka, malah dalam isu olahraga, MOM turut terbabit aktif membantu menyelesaikan masalah yang berlaku. Matlamat utama MOM adalah menjaga kebajikan atlit dan persatuan,” katanya.

Mengulas mengenai isu Tabung Amanah yang turut dikecam Shahidan, Setiausaha Kehormat MOM menegaskan betapa tabung itu adalah untuk kepentingan atlit dan badan sukan pada masa depan dan diuruskan oleh pihak profesional bagi mengelak salahguna pemegang jawatan.

“Ini sudah dipersetujui ahli majlis dan persatuan boleh memanfaatkan dana daripada tabungan ini untuk kepentingan persatuan atau atlit. Dengan adanya tabung ini, kita sudah punya jaminan kewangan untuk sukan negara ini,” katanya.

BERITA HARIAN

No comments: