Monday, 18 May 2009

MOM sokong gerak semula aktiviti sukan di sekolah

Oleh Raja Ahmad Zainudin

SAYA tertarik dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk pelajar di negara ini agar mempunyai keseimbangan antara pencapaian akademik dan kegiatan kokurikulum khususnya sukan.

Saranan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut mendapat reaksi menarik positif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang memuji Timbalan Perdana Menteri dalam menggerakkan usaha besar-besaran bagi menghidupkan semula aktiviti sukan di sekolah.

Bagi saya, usaha ini tidak boleh dilakukan oleh Kementerian Pelajaran semata-mata atau secara bersendirian, sebaliknya perlu menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak lain.

Saya amat bersetuju dengan MOM bahawa banyak faktor perlu diambil kira dalam melaksanakan usaha itu termasuk mendedahkan sekolah dengan sains sukan, memaksimumkan kemudahan sukan di sekolah dan tidak hanya mengadakan karnival sukan setahun sekali sahaja.

Paling penting kementerian perlu menyediakan bajet secukupnya untuk diberikan dalam bentuk elaun kepada guru yang terbabit sebagai dorongan menjadi jurulatih di sekolah.

Apabila kementerian bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi merangka strategi mengembalikan kegemilangan sukan di sekolah-sekolah tidak lama lagi, reaksi kepada cadangan MOM sudah terjawab dan saya sangat mengharapkan usaha itu menjadi kenyataan walaupun ada pihak tidak melihat bakat sekolah sebagai yang penting.

Memang banyak cara lain, termasuk di universiti atau secara khusus melalui keluarga atau badan-badan sukan, tetapi amat wajar Kementerian Pelajaran berganding bahu dengan Kementerian Belia dan Sukan dan jika MOM ikut serta, matlamatnya lebih mudah.

Saya berharap apa yang disebut oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, minggu lalu bahawa dua perkara utama yang akan diberi perhatian oleh jawatankuasa berkenaan ialah kemudahan sukan di sekolah dan guru yang sesuai, menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat.

Jika keadaan itu tidak diperbaiki, ia menyebabkan murid akan kehilangan peluang untuk membabitkan diri dalam aktiviti sukan secara meluas. Bagi sekolah yang ada padang, persoalan penting ialah apakah ia sesuai dan boleh digunakan untuk aktiviti sukan.

No comments: