Wednesday, 6 May 2009

'Kami tidak pernah calon Teong Kiat'


Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my

NAMA Bendahari Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Lim Teong Kiat, menjelma pula selaku calon terbaru kononnya direstui Majlis Sukan Negara (MSN) untuk pemilihan pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), hujung bulan ini.

Jawatan dikaitkan dengannya ialah Naib Presiden MOM - sekali gus mencetus andaian sebagai pengganti Low Beng Choo jika penyandang jawatan itu memutuskan bertanding kerusi Setiausaha Kehormat MOM.

Namun desas desus itu bingkas dipadamkan Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh, yang menegaskan badan induk berkenaan tidak akan membuat sebarang pencalonan untuk pemilihan MOM nanti.

“Tidak, BAM tidak pernah bersetuju untuk mencalonkan (Teong Kiat). BAM tidak akan membuat sebarang pencalonan pun,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif badan induk itu, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, MSN menafikan wujudnya campur tangan ataupun usaha mempengaruhi mana-mana persatuan sukan kebangsaan untuk mengundi ‘calon pilihan MSN’.

“MSN sentiasa berpegang kepada prinsip tidak campur tangan. Seperti ditegaskan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, MSN mempunyai hubungan baik dengan MOM dan tidak punya masalah berurusan dengan pegawainya.

“MSN juga tidak pernah mengeluarkan surat merestui mana-mana calon,” kata pegawai perhubungannya, Fahmi Omar.

Sebelumnya, timbul perkhabaran betapa ada pegawai MSN ibarat mengingkari arahan Zolkples supaya tidak campur tangan apabila dipercayai mengetengahkan beberapa calon untuk pemilihan itu nanti.

Ia bermula dengan desas desus Beng Choo disokong MSN untuk mencabar penyandang jawatan, Datuk Sieh Kok Chi, selain berita pembabitan segelintir pegawai untuk mempengaruhi undian wakil persatuan sukan nanti.

Namun penafian terbaru itu wajar disusuli pendekatan aktif MSN untuk menangani kemungkinan ada pihak sengaja menggunakan ‘nama MSN’ untuk memancing undi - jika benar badan induk itu tidak langsung terbabit dalam perilaku sebegitu.

BERITA HARIAN

No comments: