Tuesday, 19 May 2009

Calon pemilihan MOM perlu patuh 3 syarat

KUALA LUMPUR - Bermula tahun ini, calon yang didapati muflis, mempunyai kepentingan peribadi atau pernah mencemarkan nama baik Majlis Olimpik Malaysia tidak dibenarkan bertanding bagi jawatan dalam majlis itu pada mesyuarat agung tahunannya pada 30 Mei ini.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, syarat itu terkandung dalam pindaan perlembagaan majlis itu mengenai kelayakan bertanding yang diluluskan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada tahun lepas.

"Syarat-syarat tersebut dinyatakan dalam borang pencalonan bagi memastikan calon yang layak bertanding benar-benar bersih," katanya di sini, semalam.

Sieh berkata bahawa selepas borang penamaan pencalonan dibuka pada 5 petang esok, calon yang layak bertanding mempunyai masa 10 hari untuk berkempen sebelum pemilihan.

"Kebiasaannya, tiada kempen yang dijalankan kerana pertandingan bagi 12 jawatan utama dalam MOM hanya menarik minat persatuan sukan tempatan sahaja," ujarnya.

Kesemua 34 persatuan sukan kebangsaan yang menjadi anggota MOM, masing-masing akan mencalonkan tiga wakil bagi mengundi pada pemilihan bagi penggal 2009-2011.

Ia akan dikendalikan oleh panel bebas yang dianggotai oleh Norminshah Sabirin, Datuk Abdul Malik Mohd Salleh dan Stanley Charles Louis, bagi memastikan pemilihan lebih telus. - Bernama

No comments: