Wednesday, 29 April 2009

Tunku Imran dilanda bimbang

Oleh Ahmad Khawari Isa
ahmadkhawari@bharian.com.my

'Pertarungan babitkan dua orang. Di akhirnya, kita hilang seorang daripadanya'

ATAS nama demokrasi, Tunku Imran Tuanku Ja'afar tidak menghalang cabaran dalam pemilihan pucuk pimpinan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), 30 Mei nanti. Namun presiden badan induk itu enggan 'hilang' barisan kepercayaannya.

“Kita tidak boleh halang sesiapapun bertanding. Tetapi perlu dilihat implikasinya. Jika ada yang mencabar, akan ada pertarungan membabitkan dua orang. Di akhirnya, kita akan hilang seorang daripadanya.

“Itu yang mahu dielakkan, terutama jika yang tersingkir itu juga berwibawa. Persoalan mengenai keharmonian sebegini pernah dibincangkan,” katanya ketika ditemui selepas Kejohanan Golf Bekas Bintang Sukan Negara MOM-Pharmaton, semalam.

Kenyataan itu tampak merujuk kepada desas desus jawatan Setiausaha Kehormat MOM bakal menyaksikan persaingan di antara penyandang, Datuk Sieh Kok Chi dan Naib Presiden MOM, Low Beng Choo.

Kok Chi sudah secara terbuka mengumumkan hasrat mempertahankan kedudukannya ketika Beng Choo - ‘dijual’ kononnya selaku calon pilihan Majlis Sukan Negara (MSN) - belum lagi menyatakan pendiriannya.

“Jangan bertanding semata-mata atas nama demokrasi. (Jawatan itu) perlu masa, wibawa dan komitmen jitu, tanpa memikul tanggungjawab yang terlalu banyak,” katanya.

Tunku Imran mengakui ada perbincangan di antaranya dan tiga lagi pemimpin MOM - timbalan presiden, Datuk M Jegathesan, Kok Chi dan Beng Choo - ketika Kongres Majlis Olimpik Asia (OCA) di Kuwait, bulan lalu.

“(Tetapi) tiada pakatan,” katanya, merujuk kepada laporan wujud persefahaman di antara keempat-empatnya untuk saling tidak mencabar satu sama lain.

Apa yang paling dibanggakan Tunku Imran, mengenai barisan pemimpinnya ketika ini, ialah hakikat mereka sudah meletakkan MOM sebagai badan induk dengan reputasi disegani di pentas antarabangsa.

“Ketika di Kuwait, kami berempat meluahkan pendapat di empat bengkel berbeza dan menjadi tumpuan di setiap bengkel perbincangan itu,” katanya.

Satu lagi faktor yang turut tidak dinafikan ialah ‘keberanian’ bersuara ketika memperkatakan sesuatu isu kepentingan sukan, tanpa mudah tunduk kepada desakan ataupun campur tangan pelbagai pihak lainnya.

BERITA HARIAN

No comments: