Monday, 23 March 2009

Perang proksi di koridor FAM tagih kepakaran Azzudin


PERANG proksi di koridor Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula pada 7 September 2007. Pada hari tersebut Datuk Azzuddin Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Agung badan itu dan hampir serta merta beliau berhadapan dengan serangan daripada pelbagai sudut.

Azzuddin dilantik oleh Presiden FAM, Sultan Haji Ahmad Shah, sebagai Setiausaha Agung keempat FAM.

Sebelum jawatan Setiausaha Agung diwujudkan, Sekretariat FAM diketuai oleh Setiausaha Kehormat dan pernah sekali, oleh Setiausaha Eksekutif.

Sebelum 7 September itu, beberapa orang calon disebut sebagai pilihan untuk menduduki kerusi panas bolasepak itu, namun Presiden FAM dengan persetujuan majlis tertingginya memilih Azzuddin untuk memperbaiki pentadbiran dan mengetatkan disiplin di sekretariat FAM.

Perkara itu mencetuskan satu konflik yang kini dikatakan turut disertai oleh pihak-pihak lain dan ia semakin menjadi seperti perang proksi yang menyaksikan beberapa tindakan dan keputusan FAM dijadikan isu.

Azzuddin, 63, bukan sahaja perlu memikirkan mengenai mereka yang mahukan jawatannya, tetapi juga dengan orang-orang dari pentadbiran lalu serta pengkritik yang mengambil kesempatan untuk mengkritik FAM.

Ini disertai pula dengan kumpulan yang kecewa dengan FAM atas sebab-sebab peribadi dan sebagainya.

Bagaimanapun, sama ada ia konflik di medan perang mahupun di padang bolasepak atau di koridor pusat pentadbiran, Azzuddin, bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Angkatan Tentera Malaysia, bersedia untuk berjuang hingga memperolehi kemenangan.

FAM sebuah persatuan yang unik dan mempunyai perbezaan yang besar jika dibandingkan dengan persatuan-persatuan sukan yang lain. Ia mempunyai 13 jawatankuasa kecil dan liga-liga yang dijalankan hampir sepanjang tahun.

Sebagai organisasi yang besar, tentunya akan ada masalah yang timbul dari semasa ke semasa dan sering di luar kawalan FAM.

Contohnya, perubahan jadual dan penundaan perlawanan selalu dijadikan isu namun selalunya ia disebabkan oleh faktor-faktor luaran.

FAM adalah organisasi yang berfungsi bagi pihak ahli-ahli gabungannya dan setiap permintaan perlu diberi perhatian, kecuali ada peraturan yang menyatakan jadual yang sudah ditetapkan tidak boleh dipinda.

Pasukan-pasukan terlibat juga tidak mempunyai stadium sendiri dan selalunya perlawanan terpaksa ditunda jika kerajaan negeri-negeri mahu menggunakan gelanggang berkenaan.

Pernah terjadi, perlawanan di sebuah gelanggang terpaksa diadakan pada sebelah petang selama beberapa bulan kerana lampu limpah mengalami kerosakan.

Birokrasi mengakibatkan usaha memperbaikkinya mengambil masa yang lama dan hal ini diluar kawalan FAM.

Penyingkiran pasukan Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB), masalah gaji Karl Weigang yang didakwa oleh jurulatih Jerman itu sebagai tertunggak, tindakan-tindakan Jawatankuasa Pengadil dan juga Jawatankuasa Tatatertib, semua kini dijadikan isu.

Perang proksi ini tidak menghalang Azzuddin daripada merancang masa depan bolasepak bersama jawatankuasa-jawatankuasa terlibat.

Sekarang fokusnya adalah dalam pembangunan belia dan pelantikan Lim Kim Choon sebagai Pengarah Teknikal Belia dilihat sebagai suatu permulaan yang baik.

FAM juga dikatakan sedang merancang berapa program jangka panjang, termasuk menyediakan pasukan yang mantap bagi mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2014, 2018 dan 2022.

Namun Azzuddin yang mendapat sokongan kuat daripada Sultan Ahmad Shah, penyandang jawatan Presiden FAM sejak 1984.

Sultan Ahmad Shah telah banyak membawa perubahan kepada badan itu berbanding dengan keadaan sebelum 1984.

Baginda telah memainkan peranan dalam membawa penajaan berjuta-juta ringgit dan juga terlibat dalam proses memperkenalkan liga profesional di Malaysia.

Dalam senario bolasepak semasa, FAM memerlukan kepimpinan Sultan Haji Ahmad Shah dan Azzuddin, yang bersara daripada tentera pada 16 Mei 2001, masih menjadi pilihan terbaik sebagai 'ketua eksekutif di sekretariat FAM buat masa ini.

Joe Marcose

No comments: