Monday, 23 February 2009

Pro&Kontra: Ahli gabungan perlu kreatif cari dana sendiri


Oleh Raja Ahmad Zainuddin

ARENA sukan negara kini dibimbangi akan terjejas ekoran daripada kegawatan ekonomi dunia. Persatuan sukan pastinya terhimpit kerana peruntukan kian mengecil dan penaja juga makin sukar dicari.

Jika diimbas, bukan sekali kita mengalami krisis kegawatan global ini, malah ini mungkin kali ketiga dalam tempoh tiga dekad lalu. Persoalannya, sejauh mana badan-badan sukan kebangsaan akan terjejas?

Bagi saya, perlu ada kreativiti dan sikap realistik untuk menanganinya. Jika dahulu berlatih di luar negara, apa salahnya kini menggunakan kemudahan latihan dan kepakaran jurulatih di negara sendiri.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga sebenarnya tidak terkecuali daripada merasai tekanan kegawatan ini, tetapi walau apa sekalipun, 'life must go on.'

Penganjuran Liga Malaysia tetap perlu diteruskan dengan harapan kita akan mampu mencungkil bakat baru yang boleh diketengahkan untuk membantu peningkatan pasukan kebangsaan.


Saya bagaimanapun memuji Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang bersetuju meluluskan geran RM300,000 bagi meringankan bebanan ahli gabungannya. Presidennya, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar berkata RM6,000 akan diagihkan kepada ahli gabungan biasa manakala RM4,000 kepada ahli bersekutu.

MOM juga akan memantau dengan meminta laporan cara wang itu dibelanjakan. Bagi saya, bukan jumlah yang penting, tetapi usaha MOM yang mempunyai nilai besar untuk membantu ahli-ahli gabungan terus berupaya menjalankan setiap aktiviti yang dirancang.

Saya juga menyeru badan-badan induk supaya turut melakukan pelbagai usaha, termasuk menganjurkan aktiviti mampu meraih pulangan kewangan, untuk memastikan ahli-ahli gabungan mereka mampu turut dibantu lagi.

No comments: