Thursday, 19 February 2009

'Badminton, memanah, berbasikal perlu balas kepercayaan'











KUALA LUMPUR - Balas kepercayaan kerajaan pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, itulah saranan yang diberikan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kepada atlet acara badminton, memanah dan berbasikal.

Menurut Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, atlet dalam tiga jenis sukan tersebut perlu membuktikan kehebatan mereka pada Sukan Asia itu selepas Kementerian Belia dan Sukan menyatakan kesanggupan berbelanja besar bagi mencapai sasaran meraih pingat emas Sukan Olimpik pertama dalam sejarah Malaysia.

"Sukan Asia di Guangzhou nanti menjadi ujian buat mereka dan tahap untuk menguji persediaan mereka sebelum beraksi di Sukan Olimpik 2012," katanya ketika dihubungi, semalam.

Jelas Kok Chi, Sukan Asia hampir mirip dengan Sukan Olimpik memandangkan hampir 28 jenis sukan yang diadakan sama dalam kedua-dua kejohanan tersebut.

"Mungkin 17 atlet dalam tiga jenis sukan tersebut yang diberikan peluang untuk menjalani latihan khas dan pendedahan khusus dalam sains sukan untuk sasaran Olimpik 2012 mengalami penurunan prestasi.

"Jadi atlet muda boleh mengambil peluang untuk menggalas cabaran bertanding dalam temasya besar dan pada masa yang sama mewujudkan saingan yang sihat antara mereka,'' ujarnya.

Pada masa yang sama, Kok Chi berharap 17 atlet tersebut mampu meningkatkan prestasi dan sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk merealisasikan impian memungut pingat emas Olimpik pertama negara.

"Atlet dari sukan lain juga masih mempunyai peluang tetapi tumpuan kita lebih realistik, memberikan tumpuan terlebih dahulu kepada sukan yang mampu menyumbang pingat.

"Jika mereka (sukan lain) mempunyai empat elemen utama dalam Sukan Olimpik iaitu layak, mara ke akhir, menang pingat, ada peluang memenangi pingat emas apa salahnya mereka juga diberikan sedikit hak yang sama seperti sukan badminton, memanah dan berbasikal,'' katanya.

Kok Chi menjelaskan, Program Road To London 2012 juga adalah satu cabaran kepada atlet lain supaya mereka mampu membuktikan kehebatan dan membuka mata semua pihak bahawa mereka juga mampu menyinar di Sukan Olimpik.

"Mungkin atlet dari sukan renang, menembak dan angkat berat mampu untuk diberikan keistimewaan yang sama berbanding tiga jenis sukan tersebut jika mereka sentiasa mempamerkan prestasi hebat dari masa ke semasa.

"Kita sekarang ini bukan memberi tumpuan kepada mereka yang berjaya melayakkan diri ke Olimpik tetapi mempunyai prospek untuk memenangi pingat, lebih-lebih lagi pingat emas," tambah beliau.

Kelmarin, KBS telah melancarkan Program Road To London 2012 dengan menyatakan kesanggupan untuk berbelanja besar bagi mencapai sasaran Malaysia meraih pingat Sukan Olimpik buat kali pertama dalam sejarah.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia juga sebagai menunaikan kehendak rakyat terhadap satu pencapaian yang lebih baik daripada sebutir perak di Beijing tahun lalu selain satu perak satu gangsa Atlanta 1996 dan sebutir gangsa Barcelona 1992.

No comments: