
SELEPAS cubaan kali pertama meletakkan dua wakil atlit dalam Mesyuarat Lembaga Eksekutif pada 2005 gagal, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil menghidupkan kembali fungsi itu menerusi penubuhan sebuah Suruhanjaya Atlit.
Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Almarhum Tuanku Ja’afar, berkata perancangan kini diatur bagi membolehkan atlit kebangsaan serta bekas atlit mengundi enam calon terbaik mereka untuk menduduki panel suruhanjaya itu.
“Panel itu kemudian perlu memilih dua atlit iaitu seorang lelaki dan seorang wanita untuk mewakili mereka dalam mesyuarat eksekutif MOM bagi membolehkan suara atlit didengar dalam sebarang sesi membuat keputusan dan perancangan MOM,” katanya.
Beliau yang ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu `Road To London 2012’ berkata, kegagalan usaha yang dilakukan pada 2005 lalu adalah disebabkan mereka yang terpilih adalah golongan yang dilantik.
“Sebelum ini, persatuan menghantar nama mereka yang dicalonkan dan dua nama dipilih untuk menduduki kerusi ahli mesyuarat. Berikutan itu, ada yang hadir kerana terpaksa dan bukan kemahuan sendiri.
“Namun untuk kali ini, kita berharap akan ada atlit atau bekas atlit tampil menawarkan diri untuk berkhidmat untuk atlit menerusi suruhanjaya ini dan atlit sendiri yang memilih wakil mereka.
“Dengan cara ini, kita berharap mereka mampu memberikan lebih komitmen terhadap tugasan yang diberikan terutama dalam menyuarakan kemahuan dan kehendak atlit,” katanya yang menjelaskan, suruhanjaya itu sejajar dengan apa yang dilaksanakan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Tunku Imran berkata, MOM akan mengatur satu majlis bagi membolehkan semua atlit berkumpul dan melantik anggota panel itu selain mereka juga sedang merangka beberapa butiran lain berkaitan tugas serta peranan panel ini.
No comments:
Post a Comment