Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my
Datuk Sieh Kok Chi |
Masalah ekonomi tidak akan kurangkan atlit bertanding ke Sukan Sea Laos
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) tidak bercadang memperketatkan syarat kelayakan ke Sukan Sea Laos, Disember ini biarpun berdepan peruntukan yang lebih kecil berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Berdepan masalah ekonomi yang tidak menentu serta peruntukan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipotong sebanyak 30 peratus tahun ini, timbul persoalan kemungkinan kontinjen negara ke Sukan Sea XXV akan lebih kecil.
Namun, kemungkinan itu pantas dinafikan Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi, yang memberi jaminan tiada perubahan kepada syarat kelayakan dengan badan induk itu akan mengekalkan catatan tempat kedua kejohanan lalu sebagai pengukur kelayakan.
"Tiada perubahan dalam had kelayakan. Jika kita lakukan sekarang, ia tentu tidak adil kepada atlit dan persatuan sukan kebangsaan, apa lagi persediaan untuk memastikan atlit mereka layak, adalah berdasarkan kepada catatan yang sedia ada.
"Selain itu, saya pasti masalah ekonomi atau kekurangan bajet tidak akan menyumbang kepada pengurangan atlit ataupun MOM mengetatkan syarat kelayakan.
"Saya berpendapat tiada keperluan untuk mengambil tindakan sedemikian dan MOM yakin mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk menghantar atlit negara yang layak beraksi di Laos," katanya.
Ibu negara Laos, Vientiane akan menjadi tuan rumah Sukan Sea XXV yang akan berlangsung Disember ini, membabitkan 21 sukan.
MOM juga tidak bercadang membatalkan kelayakan Kategori B - pembiayaan sendiri - sekalipun ada persatuan sukan yang masih belum melunaskan 'pinjaman' mereka kepada MOM.
"Saya berpendapat kita masih memerlukan Kategori B," kata Kok Chi. "Ia tidak memberikan kesan kepada bajet yang sudah ditetapkan kerana pembiayaan ditanggung sendiri oleh persatuan sukan kebangsaan." katanya.
No comments:
Post a Comment