Friday, 1 August 2008

'Ramai lagi jurulatih senasib Kim Hock'

KETUA jurulatih, Yap Kim Hock tidak seharusnya kecil hati dan kecewa sekalipun tersisih daripada kontinjen skuad badminton negara pada Sukan Olimpik Beijing, kerana dia sebenarnya masih mempunyai laluan kepada pemain dan jurulatih negara.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, Kim Hock masih boleh berinteraksi dan berbincang dengan skuad negara di luar Perkampungan Sukan dan gelanggang pertandingan.


Menurut Kok Chi, apa yang lebih penting ialah kehadiran jurulatih peribadi masing-masing yang akan menentukan nasib pemain dan ketiadaan 'laluan terus' kepada Kim Hock, tidak bermakna kehadirannya tidak diperlukan.


"Bagi saya, ia sama sekali tidak merendahkan peranannya di Beijing.

"Sebenarnya, bukan Kim Hock saja yang berdepan dengan isu ketiadaan pas utama, sebaliknya ramai jurulatih daripada seluruh dunia juga menghadapi masalah sama kerana perkara ini sentiasa berlaku dalam Sukan Olimpik.

"Akreditasi yang diberikan begitu terhad dan tidak semua yang disenaraikan akan mendapat pas utama. Tetapi sudah menjadi amalan semua negara di mana jurulatih yang tidak mendapat akreditasi tetap berkunjung ke temasya Olimpik untuk memberi sokongan kepada atlit masing-masing.

"Dan mereka ini berkunjung ke temasya ini dengan perbelanjaan sendiri."

"Oleh itu, saya berpendapat Kim Hock masih mempunyai peranan untuk dimainkan walaupun tersisih daripada skuad utama," kata Kok Chi.

Kim Hock sebelumnya melahirkan rasa terkilan apabila namanya tercicir daripada kuota empat pegawai � yang sebaliknya diisi tiga jurulatih, Misbun Sidek, Rexy Mainaky dan Wong Tat Meng � selain pengurus, Datuk Lim Teong Kiat.

Pada masa sama, Kok Chi juga menyatakan bahawa semua pegawai dan jurulatih perlu pulang sebaik tamat acara masing-masing dengan keistimewaan hanya diberikan kepada atlit untuk terus berada di Beijing sehingga tamat temasya pada 24 Ogos ini.

"Atlit boleh kekal di Beijing sehingga temasya berakhir sekalipun acara mereka sudah tamat tetapi pegawai dan jurulatih diberikan dua hari selepas berakhir acara atlit masing-masing sebelum kembali ke Malaysia," katanya.

Berita Harian

No comments: