Tuesday, 15 July 2008

Wartawan Utusan calon anugerah sukan MOM




KUALA LUMPUR – Wartawan sukan Utusan Malaysia, Norzie Mohd. Khasbi (gambar) menjadi salah seorang daripada lima calon disenarai pendek untuk menerima Anugerah Wanita dan Sukan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) 2008.

Timbalan Presiden MOM, Beng Choo Low berkata, pemilihan Norzie adalah berdasarkan kepada sumbangannya membangunkan sukan di negara ini melalui penulisannya.

Katanya, pemilihan senarai penerima anugerah yang dibuat oleh juri-juri MOM adalah telus dan tidak pernah dipengaruhi mana-mana pihak.

“Pemilihan pemenang adalah dilakukan secara telus oleh MOM dan ia terbukti apabila Datuk Seri Azalina Othman Said yang dipilih memenangi anugerah itu pada tahun lalu turut memenangi anugerah dunia oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada tahun yang sama.

“Ia dengan jelas menunjukkan pemilihan yang dibuat oleh MOM adalah tepat dan tidak pernah dibayangi mana-mana,” katanya selepas sidang akhbar di sini, semalam.

Norzie sudah menceburi bidang penulisan sukan selama 12 tahun dan mempunyai pengalaman membuat liputan pelbagai jenis sukan dalam dan luar negara.

Empat lagi calon ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Jaring Malaysia, Mazidah Musa; Presiden Persatuan Hoki Wanita Malaysia, Raja Puan Sri Noora Ashikin Raja Abdullah; jurulatih Persatuan Boling Padang Malaysia, Choo Yih Hwa dan calon lelaki bagi anugerah kali ini, ketua jurulatih kebangsaan Kongres Tenpin Boling Malaysia, Holloway Cheah dan isteri.

Anugerah yang diwujudkan sejak 2003 itu bertujuan memberi penghargaan kepada individu, pertubuhan dan badan korporat yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan sukan negara.

Beng Choo berkata, majlis penganugerahan akan diadakan Jumaat ini dan dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.


Utusan

No comments: