Thursday, 17 July 2008

Sukma perlu anjur acara konsisten

Penekanan perlu diberi kepada acara Olimpik dan Sukan Asia bagi cari pelapis: Kok Chi


KEJOHANAN Sukan Malaysia (Sukma) yang menjadi kemuncak saingan sukan peringkat kebangsaan, perlu menganjurkan acara yang konsisten dan sejajar dengan persediaan negara menghadapi saingan Sukan Olimpik dan Sukan Asia.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata penganjuran acara sukan dalam Sukma perlu mencerminkan saingan di peringkat lebih tinggi sejajar dengan matlamat negara bagi menghasilkan atlit bertaraf dunia.

"Memang acara sukan pada setiap Sukma sentiasa berubah-ubah, namun penekanan perlu diberikan terhadap memastikan sukan tertentu sentiasa dikekalkan terutama membabitkan sukan teras.

"Pada Sukma Melaka nanti, taekwondo tidak lagi dipertandingkan walaupun ia membabitkan sukan yang dipertandingkan di peringkat Olimpik dan Sukan Asia," katanya.

Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan hanya 25 acara saja akan dipertandingkan pada Sukma Melaka membabitkan 18 sukan teras yang wajib dianjurkan serta pilihan tujuh lagi acara sukan yang ditentukan tuan rumah.

Dua acara baru dimasukkan oleh Melaka iaitu silambam, seni bela diri tradisi kaum India serta bola keranjang, acara sukan yang dilihat pasukan tuan rumah boleh memberi pingat kepada mereka.

Namun, satu sukan teras digugurkan iaitu taekwondo, sukan yang ketika ini mempunyai dua wakil di Olimpik Beijing, bulan depan. Alasan yang diberikan adalah, persatuan sukan itu terbabit dalam krisis dalaman.

Kok Chi turut menyuarakan rasa terkejut mengapa sukan taekwondo digugurkan sedangkan ia adalah acara sukan Olimpik.

"Sepatutnya Sukma hanya menumpukan acara yang dipertandingkan di Olimpik atau Sukan Asia saja dan tumpuan dapat diberikan bagi melahirkan atlit yang berwibawa," katanya.

Pada Sukma Terengganu Jun lalu, sebanyak 31 acara dipertandingkan dan untuk Melaka, tujuh jenis sukan digugurkan termasuk golf, kenu, bola tampar, lawan pedang, rugbi, judo dan tenis selain taekwondo.

No comments: