
SISTEM rating Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) di negara ini dikritik Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob yang menurutnya, pemarkahan untuk pencapaian perlu lebih tinggi daripada kategori lain.
“Pencapaian dalam sukan diukur pada aspek kejayaan membawa pulang pingat dan pencapaian di peringkat antarabangsa, bukannya berasaskan kepada aspek pentadbiran dan program yang disediakan.
“Saya rasa lebih baik jika aspek pencapaian mendapat markah tinggi umpamanya 50 peratus berbanding jumlah markah sama untuk tiga kategori yang dinilai,” katanya selepas mesyuarat pasca Kabinet di Putrajaya semalam.
Beliau mengulas keluhan beberapa persatuan sukan yang sebelum ini menyuarakan sistem rating yang diperkenalkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sejak tahun lalu, tidak begitu menyeluruh serta tidak membantu ke arah usaha menjulang tahap sukan negara.
MOM sebelum ini mengumumkan tiga persatuan, Persatuan Lawn Bowl Malaysia, Persatuan Sepak Takraw Malaysia dan Persatuan Skuasy Malaysia meraih lima bintang manakala beberapa sukan teras yang gemilang di antarabangsa termasuk Persatuan Badminton Malaysia, sekadar meraih mata yang rendah.
Malah, lebih mengejutkan apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meraih empat bintang sedangkan kedudukan pasukan bola sepak negara di ranking dunia adalah tempat ke 169, kedudukan yang amat memalukan bagi negara.
BH
No comments:
Post a Comment