Tuesday, 20 May 2008

Selesai segera masalah Koo-Tan

Oleh Lukman Salleh

BINCANG: Kok Chi desak BAM selesaikan segera �masalah� yang dihadapi Rexy (kiri) untuk menjana semula semangat Kien Keat (empat dari kiri) dan Boon Heong kerana masa kian suntuk menjelang saingan Sukan Olimpik.

Bagi saya memang satu misteri prestasi kedua-duanya begitu merudum: Kok Chi

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyerahkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menentukan kedudukan beregu elit Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam saingan Sukan Olimpik Beijing, selepas persembahan mengecewakan dalam Piala Thomas, di Jakarta, minggu lalu.

Setiausaha Kehormatnya, Datuk Sieh Kok Chi, berkata BAM perlu bertindak pantas untuk menangani permasalahan yang melanda Kien Keat-Boon Heong, kerana pasangan ini, bersama-sama dengan perseorangan Lee Chong Wei adalah harapan utama negara untuk meraih pingat di Beijing.


Sambil menyifatkan kemerosotan prestasi Kien Keat-Boon Heong sebagai satu misteri, Kok Chi, berharap kebijaksanaan barisan kepemimpinan BAM akan dapat merungkai persoalan itu dan memastikan pasangan itu cukup bersedia untuk berdepan saingan Olimpik.

“Semuanya terpulang kepada kebijaksanaan BAM,” kata Kok Chi mengulas prestasi semakin buruk Kien Keat-Boon Heong. “Sama ada pasangan ini perlu digugurkan daripada Sukan Olimpik atau membataskan aksi mereka di luar negara bergantung sepenuhnya kepada jurulatih (Rexy Mainaky).

“Bagi saya memang satu misteri prestasi kedua-duanya begitu merudum selepas hanya setahun apabila begitu gagah musim lalu hingga saya sendiri menganggap mereka begitu kebal dan sukar dikalahkan.

“Tetapi sekarang ini, bukan hanya mereka mudah dikalahkan tetapi kedua-duanya juga berdepan masalah untuk meningkatkan permainan mereka seolah-seolah seperti sudah hilang sentuhan kemenangan yang pernah menjulang nama mereka.

“Apapun, dalam hal ini BAM yang perlu bertanggung jawab menentukan kedudukan pasangan ini dan apakah tindakan yang perlu diambil sebelum Sukan Olimpik bermula yang tinggal hanya dua bulan saja lagi,” kata Kok Chi.

Sememangnya, Kien Keat-Boon Heong menjadi sandaran di Olimpik memandangkan satu lagi wakil negara dalam acara beregu, pasangan veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah, sudah dimamah usia dan kedua-duanya kini mudah terdedah kepada kecederaan.

Malah ketika saingan Piala Thomas, Tan Fook-Wan Wah kalah kepada pasangan Korea Selatan di peringkat kumpulan dan tidak diturunkan bersama ketika menentang Jepun dan China, apabila Wan Wah dilanda kecederaan dan Tan Fook pula demam.

“Chong Wei membuktikan dia mampu bersaing untuk pingat tetapi kita memerlukan pemain lain juga untuk turut mencabar kedudukan pingat,” kata Kok Chi. “Dengan Tak Fook-Wan Wah sering dilanda kecederaan, pergantungan kita sudah tentu kepada Kien Keat-Boon Heong.

“Mungkin tindakan yang perlu diambil BAM ialah tidak lagi menghantar Kien Keat-Boon Heong menyertai kejohanan antarabangsa yang masih ada sebelum Sukan Olimpik, sebaliknya memastikan mereka terus menjalani latihan.

“Namun, apa juga tindakan BAM, ia pasti menjadi perhatian dan menjadi penentu sama ada kita akan berjaya di Beijing ataupun sebaliknya.”

No comments: