Wednesday, 28 May 2008

Kok Chi persoal lesen penganjuran kejohanan CYC

Oleh Lukman Salleh

KETIKA isu pembatalan dan tuntutan semula pembayaran kejohanan bola sepak Piala Juara-Juara Belia (CYC), hangat diperdebatkan, timbul isu baru yang dikaitkan dengan pertandingan kontroversi itu iaitu sama ada promoternya, Gifted Group Limited, pernah mengemukakan permohonan lesen kepada Pesuruhjaya Sukan untuk mengelolakannya.

Ini berdasarkan kepada artikel 36 fasal 1 Akta Pembangunan Sukan 1997, yang menyebut sesuatu syarikat tidak boleh terbabit dalam apa-apa aktiviti sukan atau dalam apa-apa aktiviti lain yang berkaitan dengan sukan, yang ditetapkan Menteri (Belia dan Sukan) dalam peraturan-peraturan, melainkan jika ia dilesenkan untuk berbuat demikian oleh Pesuruhjaya.

Jika Gifted Group, tidak memohon sebarang lesen kepada Pesuruhjaya Sukan - sama ada secara terus kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan ataupun melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) - ketika menganjurkan kejohanan 2007, secara tidak langsung ia sudah melanggar peraturan yang terkandung dalam Akta terbabit.


Tetapi benarkah artikel 36 (1) itu terpakai dalam penganjuran CYC, dan jika ya, pernahkah Pejabat Pesuruhjaya Sukan menerima sebarang permohonan daripada Gifted Group untuk mengelolakan kejohanan ini dan juga sama ada Pejabat itu, yang terletak di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), merujuknya kepada FAM untuk mendapatkan persetujuan?

"Bagi saya artikel 36 (1) ini terpakai kepada semua promoter yang ingin menganjurkan atau mengelolakan sebarang kejohanan sukan di Malaysia," kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi. "Sepatutnya tiada syarikat atau promoter yang dikecualikan daripada Akta ini.

"Artikel 36 (1) itu dengan jelas menyatakan mana-mana syarikat syarikat yang mahu membabitkan diri dalam aktiviti sukan seperti menganjurkan sesuatu kejohanan perlu mendapatkan lesen daripada Pesuruhjaya Sukan.

"Ada dua cara untuk dilakukan iaitu memohon secara terus kepada Pesuruhjaya Sukan ataupun melalui badan induk sukan kebangsaan. Dengan cara ini, hak dan kepentingan badan sukan kebangsaan akan terpelihara dan tidak diketepikan, seperti apa yang berlaku ketika ini.

"Saya tidak tahu sama ada promoter CYC mengemukakan sebarang permohonan kepada Pesuruhjaya Sukan untuk mendapatkan lesen atau tidak, dan jika tidak, maka kejohanan pada 2007 boleh dianggap melanggar peraturan walaupun ia mendapat pengiktirafan FAM," kata Kok Chi.

Menurut Kok Chi, artikel 36 (1) ini, bertujuan melindungi kepentingan badan sukan kebangsaan dengan Pejabat Pesuruhjaya Sukan sudah tentu akan merujuk setiap permohonan kepada mereka dan persatuan kebangsaan boleh memberikan persetujuan atau terbabit secara aktif dalam pengelolaan dan sama sekali tidak dipinggirkan.

Seterusnya, artikel 36 fasal 2, menyebut lesen yang disebut dalam subseksyen (1) boleh dikenakan fee (yuran) dan apa-apa syarat yang difikirkan oleh Pesuruhjaya patut dikenakan.

Fasal 3 pula menyatakan: Pesuruhjaya boleh, apabila berpuas hati bahawa ada alasan yang munasabah untuk berbuat demikian, membatalkan lesen yang dikeluarkan kepada suatu syarikat di bawah seksyen ini setelah memberi syarikat itu peluang untuk membuat representasi kepadanya.

BH

No comments: