Wednesday, 30 April 2008

MOM bakal ubah perlembagaan


Oleh Lukman Salleh (Berita Harian)

Beri lebih kuasa untuk selesai masalah ahli

SELEPAS kian dibebani masalah yang membabitkan pertikaian antara ahli gabungannya yang merujuk kepada timbang taranya, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bakal mengubah perlembagaannya untuk memberi lebih kuasa kepada mereka menyelesaikan masalah.

Ketika ini timbang tara MOM lebih bersifat 'orang tengah' kerana tiada kuasa untuk menuntut atau mengarahkan pihak yang bertelagah untuk mengadakan serta bersemuka bagi mencari jalan penyelesaian, sekali gus memberi andaian usaha mereka itu hanya sia-sia.


"Sekarang ini memang ada beberapa persatuan sama ada peringkat kebangsaan ataupun negeri yang merujuk beberapa masalah kepada MOM," kata Setiausaha Kehormatnya, Datuk Sieh Kok Chi (gambar).

"Memang MOM sedang meneliti perkara ini dan cuba mencari jalan penyelesaian tetapi ia memerlukan kerjasama antara kedua-dua pihak yang bertelagah untuk duduk bersemuka, berbincang dan kemudian mencari kata sepakat.

"Masalah timbul ialah apabila hanya satu pihak yang hadir dan satu lagi enggan berbuat demikian, sedangkan timbang tara MOM tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mereka supaya hadir ataupun mengenakan tindakan jika mereka enggan.

"Oleh itu, ada sedikit kelemahan dalam proses timbang tara MOM dan saya berpendapat ada keperluan untuk meminda perlembagaan badan induk ini terutama membabitkan penyelesaian pertikaian, bagi memberikan kuasa kepada MOM menyelesaikan pertikaian," katanya.

MOM kini memikul tugas untuk menyelesaikan pertikaian serta masalah yang membelenggu ahli gabungannya selepas Pejabat Pesuruhjaya Sukan memutuskan tidak mahu terbabit dalam sebarang pertikaian atau masalah membabitkan persatuan sukan kebangsaan.

Sebaliknya persatuan sukan kebangsaan perlu menyelesaikan apa-apa pertikaian yang timbul di kalangan anggotanya atau dengan jawatankuasa atau badan pengelola mengikut prosedur dalaman ditetapkan dalam peraturan seperti yang termaktub dalam Seksyen 23 Akta Pembangunan Sukan 1997.

Bagi MOM pula, Artikel 22 Perlembagaannya mengenai pertikaian (Perkara 1), pula menggariskan sebarang perbalahan antara ahli gabungan dengan MOM, atau dengan ahli gabungan MOM yang lain atau antara ahli gabungan MOM dan sebarang ahli (negeri, kelab atau individu), perlu diselesaikan secara baik melalui proses ADR (an alternate dispute resolution), iaitu, perundingan (orang tengah) dan jika dapat diselesaikan pada peringkat ini, pertikaian itu dianggap berakhir tanpa tindakan susulan.'

Perkara 2 artikel sama pula menyatakan hanya selepas perundingan gagal, maka pertikaian itu akan dirujuk kepada tribunal timbang tara dalam Malaysia di mana seorang penimbang tara dilantik dengan persetujuan kedua-dua pihak. Selepas semua langkah ini diambil, perkara ini mungkin dirujuk kepada Menteri Belia dan Sukan di mana keputusan beliau adalah muktamad (Seksyen 24, Akta Pembangunan Sukan).

No comments: