Tuesday, 19 February 2008

Shanmugarajah dakwa diri terperangkap

Oleh Ahmad Khawari Isa dan Hasnira Hassan




Setiausaha MGF akui tak pernah calon Shu Wai

"SAYA tidak pernah calonkan Ng Shu Wai. Saya berada dalam jawatankuasa yang menggantung dan menghukumnya. Bagaimana harus saya menyokongnya?"

Kenyataan Setiausaha Kehormat Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), N Shanmugarajah, semalam, mengusutkan lagi isu pencalonan 'gimnas terbuang', Shu Wai, untuk mengikuti program kejurulatihan tiga bulan di Hungary, bermula Mac ini.


Ia sekali gus menafikan dakwaan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, betapa Shanmugarajah - bukan dirinya ataupun MOM - yang pandai-pandai mencalonkan nama gimnas berkenaan.

"Apa yang saya lakukan ialah mengeluarkan surat rujukan standard kepada MOM. Ia dilakukan selepas Shu Wai datang menunjukkan surat permohonan yang lengkap diisi serta laporan pemeriksaan perubatan, 15 Januari lalu.

"Saya akui ia kini satu kesilapan yang memerangkap saya. Tetapi saya keluarkan surat itu kerana menyangka pencalonan itu dibuat MOM di mana Presiden MGF (Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad) adalah naib presidennya," katanya.

Salinan borang permohonan program itu yang diperoleh Harian Sukan, semalam, juga menunjukkan bahawa badan yang mencalonkan Shu Wai adalah MOM, bukannya MGF seperti amalan biasanya.

Ia berbeza berbanding beberapa borang program sebelumnya - juga diperoleh Harian Sukan - menunjukkan MGF selaku badan mencalonkan peserta untuk kelulusan.

"Nama pihak calon pada borang (yang dibawa Shu Wai) sudah ditaip MOM. Maka, apa lagi yang kami boleh lakukan. Sebelum ini, semua peserta yang dihantar menyertai kursus itu, sejak 1995 lagi, dicalonkan kami," akui Shanmugarajah.

Shanmugarajah turut mendedahkan bahawa Kok Chi ada memaklumkan hasrat menghantar Shu Wai menyertai program di Universiti Semmelweis, Budapest ketika bertemunya selepas Sukan Sea, Disember lalu.

"Saya tidak bersetuju berikutan masalah disiplinnya selain tidak punya kelayakan akademik. Lazimnya MOM akan keluarkan pekeliling supaya kami hantar calon terbaik dan MGF akan maklumkan kepada semua ahli gabungan.

"Dalam kes ini, tiada pekeliling. Malah kami juga tidak bincangkan dalam mesyuarat MGF, 12 Januari lalu," katanya.

Isu pencalonan itu timbul kerana Shu Wai, ekoran beberapa masalah disiplin awal tahun lalu, digugurkan MGF dan Majlis Sukan Negara (MSN) kerana keengganan menjawab surat tunjuk sebab kepadanya selepas tidak hadir latihan dan tidak mengendahkan usaha MSN mencari jalan penyelesaian untuknya.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong - ketika dihubungi kemudiannya - menuntut penjelasan segera isu itu apabila Lembaga MOM bermesyuarat, hari ini.

"Segala kekeliruan ini perlu dijelaskan. Jika MOM bertindak bersendirian, kita perlu tahu sebabnya. Selama ini kita sentiasa berkomunikasi dengan baik. Mengapa perlu ada bezanya dalam isu ini," katanya.

No comments: