Tuesday, 19 February 2008

MGF calonkan Shu Wai: Kok Chi


Oleh Ahmad Khawari Isa


Ng Shu Wai

'Saya ada surat yang dihantar Setiausaha Kehormat MGF, N Shanmugarajah'

TUDINGAN jari ditepis Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang berang dengan tanggapan badan induk itu memperlekehkan masalah disiplin dalam isu membabitkan gimnas 'terbuang', Ng Shu Wai.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi, sebaliknya mendakwa pencalonan Shu Wai - yang memilih bersara ketika dihadapkan surat tunjuk sebab angkara masalah disiplinnya - dibuat oleh Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).


"Saya ada surat yang dihantar oleh Setiausaha Kehormat MGF, N Shanmugarajah untuk Shu Wai. Ia bukti bukan MOM yang mencalonkan Shu Wai untuk mengikuti kursus kejurulatihan itu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pendedahan itu nyata berbeza dengan kenyataan Presiden MGF, Prof Datuk Dr Zakaria Ahmad, yang mendakwa MOM mencalonkan Shu Wai untuk Program Perpaduan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) selama tiga bulan di Hungary, bermula 19 Mac hingga 11 Jun ini.

Isu itu timbul kerana Shu Wai, ekoran beberapa masalah disiplin awal tahun lalu, digugurkan oleh MGF dan Majlis Sukan Negara (MSN) daripada program latihan badan induk berkenaan kerana keengganan menjawab surat tunjuk sebab kepadanya.

Antara isu ketika itu ialah tindakannya tidak hadir latihan selepas berselisih faham dengan jurulatih, Zhang Jun, selain terus tidak mengendahkan usaha MSN mencari jalan penyelesaian dengan mendapatkan jurulatih baru untuknya.

Shu Wai, pemenang pingat perak Sukan Asia di Doha, dua tahun lalu, sebelumnya adalah gimnas negara dengan peluang terbaik layak dan mungkin meraih pingat ketika Sukan Olimpik di Beijing, Ogos nanti.

Pencalonan Shu Wai itu mendapat tentangan MSN, terutama Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong yang melahirkan rasa tidak puas hati menerusi kiriman sistem pesanan ringkas kepada Kok Chi dan semua anggota Lembaga MOM.

Namun Kok Chi mempertahankan tindakan itu dengan berpendapat Shu Wai tidak harus terus dihukum, sebaliknya segala jasa disumbangkan lebih sedekad untuk negara wajar dipertimbangkan.

"Jasanya menerusi sumbangan pelbagai pingat kepada negara harus diambil kira. Lagipun, dia tidak punya pendidikan tinggi dan menerusi penyertaan dalam kursus kejurulatihan ini, ianya akan dapat membantunya pada masa depan," kata Kok Chi.

Apa yang ketara � ketika MOM mungkin bukan pihak bersalah dalam isu itu � ianya mendedahkan tindakan MGF 'membelakangkan' MSN selepas sebelumnya bersama-sama tegas mahu menghukum Shu Wai.

Lebih menarik, wujud andaian kini betapa ada yang tidak kena dalam MGF kerana ketika Dr Zakaria mendakwa badan induk itu tidak mencalonkannya, Shanmugarajah � berdasarkan ketegasan Kok Chi � bertindak berbeza dengan mengetengahkan pula nama Shu Wai.

1 comment:

G-I-L said...

Shu Wai merupakan salah satu gimnas yang terbaik di arena sukan gimnastik tempatan.