Monday, 7 January 2008

KBS perlu lebih terbuka -- Pandangan MOM tentang negara sukan

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar lebih bersifat terbuka terhadap persatuan sukan di negara ini dalam usaha merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara sukan.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Sieh Kok Chi menegaskan, KBS perlu mempunyai sifat keterbukaan dan yakin dengan keupayaan kepimpinan persatuan-persatuan terbabit.

Katanya, persatuan sukan negara ini terdiri daripada gabungan ahli dan apa jua keputusan dibuat adalah berdasarkan sebulat suara.

‘‘KBS perlu yakin dan bersifat terbuka dengan segala keputusan yang telah dipersetujui oleh persatuan demi memajukan sukan negara.

‘‘Persatuan merupakan rakan sukan KBS yang bersama-sama ingin membangunkan sukan negara dan melalui persatuan jugalah bakat-bakat baru dapat dicungkil,’’ katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas pandangan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad dalam akhbar ini berhubung hasrat kepimpinan negara yang mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sukan.

Antara lain, Mazlan berkata, usaha mewujudkan negara sukan tidak boleh dikendalikan oleh KBS semata-mata tetapi memerlukan kerjasama erat dengan banyak pihak.

Katanya, KBS perlu menentukan hala tuju dan peranan yang perlu dimainkan pihak-pihak yang terbabit seperti MSN, Institut Sukan Negara, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, sekolah, universiti, pihak berkuasa tempatan, kerajaan tempatan, majikan dan golongan ibu bapa itu sendiri.

Sementara itu, Kok Chi yang turut bersependapat dengan Mazlan menegaskan, persepsi dan gaya KBS perlu lebih terbuka.

‘‘Semua orang mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri dalam meningkatkan sukan negara,’’ ujarnya.

Beliau menjelaskan, dengan pemikiran lebih terbuka dan percaya dengan keputusan yang diputuskan oleh persatuan, ia sebenarnya lebih memperlihatkan keserasian kedua-dua belah pihak.

Menurut Kok Chi, persatuan mempunyai peranan, tugas dan tanggungjawab tersendiri dalam memajukan sukan negara.

Utusan Malaysia

No comments: