
Menurutnya, walaupun secara teknikal tuan rumah menyalahi peraturan yang menetapkan sebarang acara perlu dimuktamadkan setahun sebelum temasya itu berlangsung, namun perubahan kerajaan serta individu yang bertanggungjawab merencana penganjuran temasya itu juga adalah antara sebab pengguguran itu.
Namun, Tunku Imran mengakui situasi itu wajar menjadi pengajaran buat Persekutuan Sukan Sea (SGF) agar memilih acara yang boleh disertai dan sesuai buat semua negara.
"Ia sebenarnya bukan sahaja merugikan Malaysia yang memiliki harapan pingat emas dalam acara seperti individu skuasy wanita, malah turut membabitkan negara lain yang punya peluang dalam acara lain.
"Kita kena terima kerana sesetengah negara memang kuat tetapi sesetengah negara pula tidak mampu menghantar pasukan.
"Bagi acara ekuestrian contohnya, ia mahal kerana perlukan bilik dan pengangkutan untuk kuda dan sebagainya, sekali gus memberi masalah kepada banyak negara," katanya pada sidang media penyerahan tajaan kasut Power dan Bata kepada kontinjen Sukan Sea di Wisma OCM, semalam.
Hadir sama, Pengurus Kanan Pemasaran Bata (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk James Selvaraj, chef-de-mission Malaysia ke Sukan Sea Korat, Datuk Zainal Abidin Ahmad serta Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap MOM yang kurang agresif dalam menangani isu pengguguran yang dikatakan berpunca daripada tidak mendapat penyertaan minima sebanyak empat negara.
Azalina kecewa dengan pengguguran acara itu kerana ia membazirkan masa dan wang berikutan perbelanjaan mahal bagi persiapan sesetengah acara sedangkan ia akhirnya tidak dipertandingkan.
Acara yang digugurkan adalah skeet, trap dan double trap (menembak) yang hanya disertai Thailand dan Vietnam, luncur angin wanita dalam acara perahu layar (Thailand, Malaysia), angkat berat wanita 48 kilogram dan 76kg ke atas (Thailand, Malaysia), ekuestrian individu dan berpasukan (Thailand, Malaysia).
Skuasy perseorangan wanita (Thailand, Malaysia), muaythai kategori bantamweight dan lightweight (Thailand, Filipina), dan lumba basikal menuruni bukit wanita (Thailand, Malaysia), sekali gus menyaksikan jumlah pingat emas yang bakal menjadi rebutan kini berjumlah 473 berbanding 485 sebelum ini.
Tunku Imran menegaskan, MOM sudah berusaha tetapi keputusan akhir tetap bergantung kepada penganjur.
"Sememangnya tuan rumah sepatutnya menyiapkan senarai acara lebih awal supaya negara lain boleh mulakan perancangan dan penganjur memulakan usaha mencari tempat yang sesuai buat acara itu.
"Seperti Laos yang juga negara baru menganjurkan Sukan Sea 2009, mereka tidak senaraikan 50 sukan tetapi hanya 25," kata Tunku Imran sambil menjelaskan usaha untuk mendapatkan banyak acara memang sesuatu yang biasa dalam Sukan Sea.
No comments:
Post a Comment