Zolkples Embong |
Penyenaraian semula dua acara ceriakan kontinjen Malaysia
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) wajar jadi peneraju kepada usaha 'menyelamatkan' Sukan Sea daripada terus menghampiri label selaku temasya serantau yang sentiasa bermasalah.
Saranan itu disuarakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, ketika badan induk itu dihantui bingung situasi tidak pasti selepas pengguguran lewat beberapa acara daripada temasya di Korat, awal Disember ini.
Cuma sedikit menggembirakan ialah perkhabaran lewat semalam, betapa dua acara membabitkan atlit negara yang sebelumnya digugurkan - eventing ekuestrian dan acara berbasikal menuruni bukit wanita - akan kembali dipertandingkan.
Ianya ekoran pengumuman Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Sukan Sea Korat, Dr Sakphai Thapsuwan, selepas Indonesia setuju tampil dengan pasukan untuk acara eventing dan Vietnam menghantar atlit untuk acara berbasikal itu.
Namun Zolkples menegaskan situasi gelisah sebegitu tidak wajar berulang.
"Pengguguran acara pada saat-saat akhir mengakibatkan kita berdepan kos tinggi, baik daripada kewangan mahupun moral atlit yang sudah berlatih sejak sekian lama.
"Saya percaya sudah tiba masa MOM bertegas dan menggesa SGF (Persekutuan Sukan Sea) supaya patuh kepada peraturan yang digubal badan induk itu sendiri.
"Kita tidak boleh dipaksa menanggung kerugian semata-mata tindak tanduk tuan rumah atau kerana kegagalan menguatkuasakan peraturan sedia ada," katanya.
MSN dipaksa berdepan situasi tidak mampu meraih pulangan daripada pelaburan yang sudah dibuat seperti pembelian peralatan dan kos latihan atlit yang disasarkan untuk temasya itu.
Sebelum kemasukan semula acara eventing itu, kemungkinan kos tanpa pulangan terpaksa dihadapi ialah belanja sejumlah RM300,000 untuk membeli kuda.
Reaksi Zolkples itu juga adalah balasan kepada ketegasan Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar sebelumnya yang menganggap MOM tidak wajar dipersalahkan kerana pengguguran itu.
"Kita bukan mahu menyalahkan sesiapa. Tetapi dengan tuntutan persiapan untuk sukan di pentas antarabangsa kini begitu memuncak, seharusnya masalah sebegini tidak timbul.
"SGF ada peraturan mewajibkan semua acara dimuktamadkan setahun sebelum temasya berlangsung. Memang ada ketikanya, kita perlu peka kepada tuan rumah, tetapi kos dan persiapan atlit yang sudah dilakukan juga perlu dipentingkan," katanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment