Monday, 22 October 2007

MOM resah kemelut landa MFF

Oleh Meor Hisham Zulkifli

Saya tidak faham wujud masalah sedemikian andai prinsip sukan difahami: Kok Chi

KEMELUT yang melanda Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF) perlu segera dinoktahkan dan semua pihak yang terbabit harus kembali kepada prinsip asal sukan iaitu untuk kesejahteraan dan perpaduan, bukan agenda peribadi.

Meskipun sedar, isu yang timbul sudah pun membarah membabitkan laporan polis, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, tidak mahu masalah itu menjejaskan usaha negara meraih pingat di kancah antarabangsa.


"Mengapa semua ini boleh berlaku ketika negara baru sahaja melihat sukan lawan pedang mula bertapak di negara ini. Saya tidak faham kenapa wujud masalah sedemikian andai prinsip sebenar sukan benar-benar difahami oleh atlit dan pegawai.

"Kami berharap masalah ini segera diatasi supaya atlit dapat menumpukan perhatian mereka terhadap usaha negara meraih pingat pada Sukan Sea di Korat, hujung tahun ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Sambil menegaskan betapa MOM tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman persatuan, Kok Chi menegaskan, selaku badan induk sukan itu, ia sentiasa berada di pihak golongan yang sudah pun dipilih secara demokrasi.

"Kita sentiasa menyokong mereka yang sudah dipilih menerusi proses pemilihan yang sah dan MOM tidak akan campur tangan dalam masalah dalaman persatuan yang bergabung di bawah badan induk ini.

"Oleh itu, tidak timbul soal kita hanya menyokong pihak tertentu dan mengabaikan pihak lain kerana kita berpegang kepada keputusan undian selain mahu supaya sebarang pergolakan yang berlaku, tidak menjejaskan matlamat asal melahirkan atlit berwibawa.

"Atlit mereka perlu kembali berlatih bersama dan membuang segala yang keruh kerana pergaduhan hanya akan merugikan diri sendiri. Kalau rasa tidak puas hati terhadap perkara tertentu, mereka perlu sedia mengemukakan bukti kukuh, bukan sekadar membuat dakwaan yang boleh memburukkan keadaan," katanya.

Jumaat lalu, seorang daripada atlit lawan pedang yang sedang mengikuti latihan fasa terakhir Sukan Sea 2007, membuat laporan polis mendakwa diserang rakan atlit.

Beberapa hari sebelum itu, kongres tahunan MFF berlangsung hangat apabila berlaku perebutan jawatan presiden dan selepas undian, Presiden MFF, Ahmad Farik Abdul Hamid memperoleh kelebihan empat undi bagi mengekalkan jawatan.

Atlit lawan pedang juga sebelum ini dilaporkan mengadu timbul pelbagai masalah dalam persatuan sehingga menjejaskan persiapan selain wujud isu pilih kasih dalam pemilihan ke Sukan Sea.

Berita Harian

No comments: