
MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM), semalam melontar cabaran ke arah Persekutuan untuk mencanang barisan terbaik yang dapat kembali beraksi di Sukan Olimpik di Beijing tahun depan.
Ini berikutan pencapaian terpuji skuad negara bimbingan Sarjit Singh yang meraih pingat gangsa di kejohanan Piala Asia Ke-7 yang berakhir di Chennai, India, kelmarin.
Walaupun sudah beberapa kali layak ke saingan Olimpik dengan kali terakhir di Sydney 2000, Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar menggesa skuad hoki negara agar dapat mengesahkan tiket ke pusingan akhir di Beijing.
“Pasukan hoki mempamerkan peningkatan cemerlang di Chennai ketika saingan Piala Asia dengan menduduki tempat ketiga. Kita lihat tiada sebab untuk mereka tidak menempah tempat ke Beijing kelak.
“Dan pasti lebih manis jika skuad ini dapat membawa pulang pingat untuk negara dalam temasya itu,” katanya pada majlis pelancaran program pencarian pembawa obor Sukan Olimpik di Wisma MOM di ibu negara.
Kelmarin, Malaysia muncul tempat ketiga selepas berjaya menewaskan Jepun 5-3, kejayaan terbaik negara sejak kejohanan ini diperkenalkan. Dalam aksi separuh akhir Sabtu lalu, Malaysia tewas kepada Korea Selatan, 2-1.
Pada 2004, skuad hoki negara gagal melayakkan diri ke Olimpik Athens dan pencapaian kali ini mula memberi gambaran kemunculan semula skuad negara pada edisi 2008 nanti.
Sementara itu, seramai 80 rakyat negara ini bakal mendapat penghormatan membawa obor temasya Sukan Olimpik Beijing 2008 pada satu majlis yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada April tahun depan.
Tunku Imran melancarkan program pencarian pembawa obor itu bersama penaja program berkenaan, Samsung Malaysia Electronics Sdn Bhd.
Mengulas mengenai program itu, Tunku Imran, berkata ini adalah kali pertama Malaysia terpilih di kalangan 20 negara dunia untuk menganjurkan program larian berganti-ganti membawa obor ini.
“Setiap seorang akan berlari antara 200m hingga 250 meter di laluan sepanjang 20 kilometer mengelilingi tempat menarik di ibu kota bagi mempromosi sukan Olimpik Beijing serta menyebarkan semangat kesukanan di kalangan rakyat negara ini,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Samsung Malaysia, Min Yong Ho dan Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment