Pada pengamatan badan berkenaan isu gimnas negara, Ng Shu Wai yang menyaksikan negara kehilangan harapan meraih pingat Olimpik serta dakwaan kewujudan orang tengah meneguk wang daripada bekas jurulatih Yap Yee Yin tidak bermakna MSN dianggap badan bermasalah.

Sambil menyifatkan masih terlalu awal untuk MOM membuat sebarang kenyataan mengenai perkara itu, Presidennya, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaa’far, tidak menganggap tindakan Shu Wai meninggalkan kem latihan mempunyai kaitan dengan kes Yee Yin.
“Masih terlalu awal untuk kita meminta siasatan sepenuhnya terhadap pentadbiran ini lebih-lebih lagi dengan keadaan MSN ketika ini yang baru saja menjalani proses rombakan berikutan pembentukan Institut Sukan Negara (ISN).
“Ekoran daripada pemisahan ini kita melihat banyak perubahan dan kekeliruan berkaitan dengan kakitangan dan sebagainya. Apa yang penting kita berharap perkara ini dapat diselesaikan jika benar ada masalah yang timbul,” katanya.
Beliau sebelum itu diminta mengulas apakah tindakan Ng Shu Wai yang enggan berlatih dengan MSN menyaksikan dia digugurkan daripada program sukan negara mempunyai kaitan dengan kes jurulatih gimnas itu yang mendakwa wujud penyelewengan dalam MSN.
Sebelum ini, karier Shu Wai ditamatkan MSN apabila menggugurkannya daripada program gimnastik elit mereka selepas gagal menjawab surat tunjuk sebab badan induk itu berhubung kegagalannya menyertai latihan sebelum ini.
Keputusan yang berkuat kuasa serta-merta itu menyaksikan segala kemudahan yang diberikan kepada atlit itu sebagai ‘kakitangan MSN’ ditarik balik sepenuhnya termasuk elaun.
Sementara itu, dalam kes Yee Yin, minggu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman mengarahkan supaya Badan Pencegah Rasuah (BPR) memantau siasatan dakwaan bekas jurulatih gimnas itu.
Yee Yin mendakwa wujud penyelewengan dalam MSN apabila badan sukan itu masih mendepositkan elaun sebanyak RM1,300 kepadanya walaupun kontraknya berakhir dua tahun lalu.
Selain itu, dalam memorandum kepada Azalina, Yee Yin turut mendakwa ada ‘orang tengah’ di dalam MSN yang meminta dia menyerahkan separuh daripada elaun, berjumlah RM18,200 kepadanya.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment