Thursday, 23 August 2007

Saluran sukan tempatan 24 jam

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan memiliki saluran sukan 24 jam bagi menyiarkan semua program berkaitan aktiviti sukan di negara ini menerusi saluran khusus di Astro mulai tahun depan.

Saluran sukan itu, menyamai saluran yang sedia ada iaitu Supersports, ESPN, Star Sports dan Eurosports, yang kesemuanya menumpukan siaran kepada acara sukan antarabangsa.

Sumber berkata, OCM akan bekerjasama dengan sebuah syarikat penerbitan tempatan, Peninsula Digital Sdn Bhd untuk mengeluarkan semua program berkenaan manakala Astro pula akan menyediakan saluran khusus untuk menyiarkannya.

Kandungan program yang disiarkan secara berterusan itu akan tertumpu kepada semua aktiviti dan acara berkaitan sukan di negara ini, termasuk berita sukan pada setiap hari, siaran langsung acara sukan, temubual dan perkara-perkara semasa yang berlaku dalam badan-badan sukan di seluruh negara.

Objektif saluran itu ialah untuk meningkatkan cara hidup sihat melalui penyertaan aktif dalam aktiviti sukan di kalangan 26 juta rakyat Malaysia, kata sumber itu.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman membabitkan tiga pihak akan diadakan antara MOM, Peninsula Digital Sdn. Bhd. dan Astro All Asia Networks PLC (Astro) pada 4 September ini.

Baru-baru ini, MOM mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan wakil syarikat penerbitan Peninsula Digital Sdn. Bhd. dan badan-badan sukan kebangsaan sebagai tanda awal untuk menjayakan saluran sukan itu.

Sementara itu, Setiausaha MOM, Datuk Sieh Kok Chi ketika dihubungi Bernama semalam berkata, saluran sukan 24 jam itu masih di peringkat perancangan.

‘‘Presiden MOM, Tan Sri Tuanku Imran Tuanku Ja‘afar akan mengumumkan secara rasmi pada majlis menandatangani MoU itu,” katanya.


Beliau juga meminta semua badan sukan kebangsaan untuk menyerahkan program aktiviti mereka tahun hadapan kepada MOM sebelum akhir bulan ini.

Beliau berkata maklumat itu akan membantu perancangan kandungan saluran sukan berkenaan.

– Bernama

No comments: