Wednesday, 11 July 2007

Persatuan perlu umum pengurus hujung bulan ini

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahu persatuan-persatuan sukan kebangsaan menamakan pengurus pasukan mereka bagi Sukan SEA Korat di Thailand menjelang hujung bulan ini.

Chef-de-Mission negara bagi Sukan SEA itu, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, persatuan-persatuan sukan terbabit telah diminta menyerahkan nama pengurus pasukan menjelang 31 Julai ini bagi memudahkan MOM merangka tugas susulan.

“Kerana kita akan mengambil bahagian dalam 40 daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan dan kerana Malaysia akan menghantar kontinjen yang besar, kita mesti membuat perancangan awal,” katanya semalam.

MOM telah menyerahkan senarai awal 1,170 atlet dan pegawai bagi Sukan SEA Korat sebelum tarikh akhir bagi penyertaan mengikut bilangan” pada 8 Julai ini.

Bagaimanapun, jumlah akhir mungkin bukan 1,170 apabila MOM menyerahkan “penyertaan berdasarkan nama” sebelum tarikh akhir pada 8 Oktober ini.

Mengenai persediaan atlet bagi temasya sukan itu yang akan diadakan pada 6 hingga 15 Disember ini, Zainal Abidin berkata, berikutan ada atlet yang berlatih di dalam dan luar negara, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk meningkatkan moral mereka menerusi pendekatan psikologi.

“Hasrat saya adalah untuk memberikan mereka kelebihan psikologi apabila mereka bertanding kerana mereka telah pun berlatih dengan gigih bagi acara itu. Saya juga mahu menekankan kepada disiplin dan dedikasi mereka.

“ Menjadi atlet kebangsaan, mereka sepatutnya mempamerkan tahap disiplin yang tinggi dan sedar tanggungjawab mereka terhadap negara. Bagi kita, kita perlu memberikan mereka sokongan moral dan motivasi bagi meningkatkan tahap tumpuan untuk memenangi pingat,” katanya.

Zainal Abidin berkata, beliau akan memulakan kunjungan terhadap sukan-sukan berkenaan tidak lama lagi bagi melihat mereka berlatih dan mendengar pandangan mereka berkenaan persediaan bagi temasya sukan itu.

Mengenai sasaran, beliau merasakan kontinjen Malaysia sepatutnya melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding prestasi keseluruhan pada Sukan SEA Manila 2005.

Malaysia menduduki tempat keempat di Manila dengan 61 pingat emas, 49 perak dan 60 gangsa.

Utusan Malaysia

No comments: