Chef-de-Mission negara bagi Sukan Sea, Datuk Zainal Abidin Ahmad, berkata persatuan-persatuan sukan terbabit sudah diminta menyerahkan nama pengurus pasukan menjelang 31 Julai bagi memudahkan MOM dalam merangka tugas susulan.
“Malaysia akan mengambil bahagian dalam 40 daripada 43 jenis sukan yang dipertandingkan dan kerana Malaysia akan menghantar kontinjen yang besar, kita mesti membuat perancangan awal,” katanya.
MOM sudah menyerahkan senarai awal 1,170 atlit dan pegawai bagi Sukan Sea Korat sebelum tarikh akhir bagi ‘penyertaan mengikut bilangan’ pada 8 Julai.
Bagaimanapun, jumlah akhir mungkin bukan sebanyak itu apabila MOM menyerahkan ‘penyertaan berdasarkan nama’ sebelum tarikh akhir pada 8 Oktober.
Mengenai persediaan atlit bagi temasya yang akan diadakan pada 6 hingga 15 Disember, Zainal Abidin berkata berikutan ada atlit yang berlatih di dalam negara dan luar negara, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk meningkatkan moral mereka menerusi pendekatan psikologi.
“Hasrat saya adalah untuk memberikan mereka kelebihan psikologi apabila bertanding kerana mereka sudah berlatih dengan gigih bagi acara itu. Saya juga mahu menekankan kepada disiplin dan dedikasi mereka,” katanya.
No comments:
Post a Comment