Tuesday, 31 July 2007

MOM izin FAM ke Korat

Tanggung kos sendiri, akan dikembalikan jika bawa pulang perak

SEAKAN terlepas daripada hukuman, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu membalas budi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang membenarkan mereka beraksi pada temasya Sukan Sea di Korat, Thailand walaupun cuma menerusi status kategori B.

Ketika banyak pihak tidak memberikan peluang untuk skuad bola sepak di Sukan Sea selepas `bencana’ Piala Asia, awal bulan ini, perkhabaran menjelma menyatakan MOM sedia memberi ruang kepada FAM menebus kembali maruahnya di persada Asia Tenggara.

Pada mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan MOM, semalam, FAM diwakili Datuk Soh Chin Aun; Ketua Jabatan Belianya, Ahmad Fuad Daud dan Ketua Jawatankuasa Pertandingan, E R Subramaniam, bagi membentangkan rasional penghantaran skuad itu.

Mungkin atas dasar mahu memberikan keadilan kepada semua pihak seperti yang dilakukan kepada sukan lain yang kurang menyerlah tetapi tetap mahu ke Korat, MOM menegaskan bola sepak yang sebelumnya dianggap elit, wajar mendapat tempat.

Seperti dijangka, FAM perlu menanggung sendiri segala perbelanjaan untuk ke temasya itu menerusi kategori B dan hanya boleh mendapat bayaran balik kos yang digunakan jika membawa pulang pingat perak.

“Berdasarkan prestasi semasa, mereka perlu membayar sendiri kos untuk ke Sukan Sea kali ini dan mereka hanya mendapat bayaran balik jika mampu meraih kejayaan di sana kelak,” kata satu sumber yang menegaskan MOM akan membuat kenyataan lanjut mengenainya esok.

Malah, menurut sumber itu, kekalahan besar dialami skuad senior negara - 1-5 kepada China dan 0-5 di tangan Uzbekistan sebelum mempamer peningkatan untuk `hanya kecundang' 0-2 kepada Iran - tidak harus dijadikan faktor menghukum FAM yang bakal membariskan skuad Bawah 23 di Thailand kelak.

Sabtu lalu, Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi (gambar), menegaskan betapa hasrat persatuan itu untuk menghantar pasukan ke Sukan Sea di Korat, tidak akan dihalang.

"Saya berpendapat bola sepak tidak wajar dihalang ke Sukan Sea nanti. Mereka wajar dibenarkan untuk beraksi dalam temasya itu,” katanya yang menegaskan, mesyuarat pemilihan MOM bakal menentukan kategori pemergian pasukan itu.

Saingan Sukan Sea bakal disaingi pasukan bawah 23 tahun menjelaskan betapa Ahmad Fuad yang berwatak Ketua Bahagian Belia ditugaskan mengadap jawatankuasa itu semalam, tugas yang kelihatan sepatutnya dilakukan pegawai FAM yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, apa yang jelas kini, FAM bukan lagi bernafas lega tetapi perlu membuktikan mereka mampu bangkit untuk memulihkan maruah pasukan bola sepak negara, sekali gus mengembalikan keyakinan peminat.

Berita Harian

No comments: