Thursday, 26 July 2007

‘FAM perlu fokus satu fungsi saja’

Badan induk bola sepak itu tak wajar jadi pakar dalam semua perkara: Kok Chi

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu menggariskan keutamaan serta fungsi mereka dengan jelas dan tidak cuba untuk menjadi ‘pakar semua perkara’ yang menyebabkan tidak satu pun matlamat serta tanggungjawab mereka tercapai.

FAM juga perlu menggariskan fungsi persatuan bola sepak negeri dan tidak lagi memanjakan mereka hingga menyebabkan ia gagal menjalankan tugas utama dalam pembangunan bola sepak, sekali gus memaksa tanggungjawab itu dipikul FAM.

Bagi Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi (gambar), ini adalah antara kesilapan dan kelemahan FAM yang harus diperbetulkan dan badan induk itu perlu memfokuskan kepada satu fungsi saja, seandainya mahu melihat bola sepak negara kembali pada landasan tepat.

“Pada 1960-an hingga awal 80an, kita dapat saksikan bagaimana kelab atau jabatan kerajaan seperti Penjara dan Kelab Sultan Sulaiman (KSS), bertindak selaku pengasah bakat dan melahirkan ramai pemain ternama.

“Dan FAM ketika itu hanya bertindak sebagai badan yang mengambil pemain terbaik ini untuk membentuk pasukan kebangsaan

“Tetapi selepas memasuki era separuh profesional dan kemudian profesional sepenuhnya, struktur lama ini sudah hilang sepenuhnya dengan FAM cuba melakukan semua tugas termasuk pembangunan akar umbi, menguruskan liga dan pasukan kebangsaan.

“Apa fokus utama FAM dan saya berpendapat badan induk ini harus kembali untuk menggariskan fungsi dan tanggungjawab mereka dengan jelas selain sumbangan persatuan negeri dan mungkin juga kelab.

“FAM tidak boleh melaksanakan semua tugas dan apabila pasukan kebangsaan gagal beraksi dengan cemerlang sudah pasti badan induk ini dipersalahkan kerana mereka dilihat pihak yang bertanggungjawab kepada semua perancangan bola sepak negara ini,” kata Kok Chi.

Pendapat Kok Chi itu wajar direnungkan khususnya persatuan negeri yang tampak lebih terarah kepada kejayaan singkat dan mengabaikan pembangunan akar umbi yang kemudian terpaksa dipikul FAM.

Bagi Kok Chi, jika persatuan negeri gagal melahirkan pemain berbakat dan berkaliber sudah tentu ia akan mempengaruhi pasukan kebangsaan sama seperti membuat kereta, jika ada masalah dengan vendor atau alat ganti, sudah tentu akan mempunyai kesan kepada mutu kereta yang dikeluarkan.

“FAM perlu mengkaji semula perkara ini,” kata Kok Chi. “Saya pasti sebelum ini FAM ada membuat kajian mengenai liga profesional yang diuruskan di luar negara tetapi adakah satu model pengurusan badan induk kebangsaan yang menjadi ikutan FAM?.

“Adakah FAM mahu menjadi badan yang hanya menguruskan skuad bola sepak kebangsaan ataupun mahu melaksana semua tugas? Tanggungjawab semua persatuan ini harus digaris dan dipisahkan dengan jelas.”

Berita Harian

No comments: