Friday, 22 June 2007

Tun Razak pencetus ‘semangat sukan’ negara

PERDANA Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dikenali sebagai ‘Bapa Pembangunan Malaysia’ kerana jasanya memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), penubuhan Felda, penubuhan Asean dan juga jalinan hubungan diplomatik dengan China.


Namun, mungkin tidak ramai yang menyedari beliau juga adalah seorang yang turut menjadi penyumbang besar kepada pembangunan sukan di negara ini.

Seperti Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak juga adalah peminat sukan dan pernah memegang jawatan penting memimpin Majlis Olimpik Malaysia (MOM) selaku presiden dari 1959 hingga beliau meninggal dunia pada 1976.

“Sukan di tanah air benar-benar memulakan kemajuan di bawah pengawasan baik dan kecenderungan beliau serta juga pada era Tunku,” kata pengkritik sukan, Profesor Datuk Khoo Kay Kim.

Selain itu, Abdul Razak juga pernah menjadi Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) dari 1957 hingga 1976 dan beliau adalah tokoh di sebalik peningkatan skuad hoki kebangsaan pada era 70-an ke peringkat dunia.

Di bawah pimpinannya, skuad kebangsaan mendapat tempat keempat Kejohanan Piala Dunia Ke-3 pada 1975 di Kuala Lumpur.

Pentadbiran harian PHM ketika itu, dijalankan Raja Azlan Shah (kini Sultan Azlan Shah) dan juga Allahyarham Datuk Dr Aziz Durairatnam. Namun, Abdul Razak tetap memainkan peranan aktif selaku presiden walaupun sibuk dengan tugas sebagai Perdana Menteri.

Sumbangannya yang banyak dalam hoki juga adalah faktor stadium astroturf pertama negara di Jalan Duta, Stadium Hoki Tun Razak dinamakan selepas beliau, kejohanan antara negeri iaitu Piala Razak juga dinamakan sempena nama beliau.

Selepas tragedi 13 Mei 1969, Abdul Razak melihat sukan sebagai satu kaedah yang mampu menyatu padukan kaum di Malaysia dan berusaha mengadakan kejohanan bola keranjang dan ping pong untuk pemain dari kaum bukan Cina.

Objektifnya ketika itu ialah untuk menggalakkan kaum bukan Cina untuk turut menceburi sukan yang sebelum itu hanya dipelopori kaum Cina.

Ketika allahyarham menjadi Presiden MOM Malaysia diberi penghormatan menjadi tuan rumah dua kali Sukan SEAP (kini Sukan Sea) pada 1965 dan 1971.

Baginya, Malaysia tidak harus hanya mengambil bahagian tetapi harus juga berusaha menganjurkan temasya sukan bertaraf antarabangsa, keyakinan yang ada pada beliau ketika itu juga mungkin adalah faktor mengapa kini Malaysia mampu menganjurkan kejohanan sukan antarabangsa seperti Sukan Komanwel.

Namun, ketika Abdul Razak meninggal dunia terdapat satu cita-citanya yang tidak kesampaian hingga kini iaitu penubuhan muzium sukan yang dicadangkannya pada tahun 1970.

Muzium sukan yang dicadangkan Abdul Razak ketika itu bertujuan menunjukkan kepada rakyat kini sejarah sukan Malaysia sejak zaman selepas Perang Dunia Kedua. Kini mungkin sudah tiba masanya ia dilaksanakan.

Berita Harian

No comments: