Tuesday, 19 June 2007

Sistem rating dikaji

KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menggunakan Persidangan Tahunan Ke-9 mereka pada 23 Jun ini untuk mengkaji baik buruk sistem rating yang diperkenalkan kerajaan kepada persatuan-persatuan sukan.

Timbalan Presiden MOM, Datuk Dr. M. Jegathesan berkata, ini bagi menghasilkan satu sistem yang benar-benar berkesan dan adil.

Katanya, kajian juga akan dilakukan di kalangan atlet untuk mendapat pandangan mereka mengenai sistem rating tersebut.

“Apa yang MOM lakukan bukan menolak sistem rating ini tetapi bagaimana menjadikannya satu kayu pengukur yang terbaik dalam menilai persatuan-persatuan sukan.

“Kita mahu ahli gabungan MOM diberi peluang meluahkan pandangan mereka di mana pada akhirnya nanti, satu rumusan mengenai pelaksanaannya akan dihasilkan.

“Didorong oleh hasrat Menteri Belia dan Sukan yang mahu semua warga sukan diberi peluang melontarkan pandangan mereka, rumusan itu akan mewakili pandangan MOM mengenai sistem rating tersebut,” ujarnya, semalam.

Tiga kertas kerja akan dibentangkan pada persidangan tahunan MOM tersebut yang bertemakan Membangunkan Sistem Rating Persatuan-Persatuan Sukan.

Kertas kerja pertama bertajuk Pentadbiran akan dibentang Naib Presiden MOM, Datuk Roy Rajasingham.

Ini diikuti pembentangan kertas kerja oleh Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Naim Mohamad yang bertajuk Aktiviti, Program dan Penyertaan.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi pula akan memperkatakan tentang Prestasi dan Pencapaian.

Dijangka 90 pemimpin persatuan sukan akan menyertai persidangan sehari itu di mana mereka terlibat dalam sesi soal jawab dan bengkel.

“Hasil daripada bengkel itu, MOM akan melakukan ujian sulung ke atas persatuan sukan terlebih dulu sebelum diserahkan kepada kerajaan,” tegasnya.

Menurut Jegathesan lagi, para peserta juga akan turut didedahkan dengan sistem rating yang digunakan di Australia oleh konsultan sukan yang dilantik kerajaan, Hallam Pereira.

Utusan Malaysia

No comments: