KUALA LUMPUR – Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menjelaskan penggunaan sistem rating adalah lebih tepat berbanding sistem ranking yang diperkenalkan kerajaan dalam menilai persatuan-persatuan sukan di negara ini.
Malah ia turut dipersetujui Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk meletakkan persatuan sukan kebangsaan dalam bentuk rating.
Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar berkata, perubahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan matlamat asal dalam menilai persatuan sukan kebangsaan mengikut kapasiti dan keupayaan mereka memainkan peranan dan tanggungjawab secara telus dan efisyen.
“Ranking lebih kepada prestasi atlet tetapi rating lebih menjuruskan kepada kualiti pengurusan persatuan sukan kebangsaan dalam menguruskan program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
“Contoh terbaik rating ialah seperti hotel yang ada tiga bintang, empat bintang atau lima bintang,” ujar Tunku Imran selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di sini, semalam.
Beliau mengulas mengenai sistem rating yang akan dikaji secara terperinci bentuk pelaksanaannya pada Persidangan Tahunan MOM Ke-9 pada 23 Jun ini.
Sistem rating dipilih menjadi tema persidangan itu kerana majoriti persatuan sukan kebangsaan kini di lihat lebih banyak gagal dalam pengurusan untuk program pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
Ini juga menjadi faktor mengapa kerajaan memperkenalkan sistem rating dalam menyalurkan peruntukan kepada persatuan sukan.
Pada masa yang sama juga, MSN perlu menyediakan satu senarai program dan peruntukan untuk setiap program yang menunjukkan persatuan sukan mana yang layak atau sebaliknya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment