Friday, 22 June 2007

Azalina calon Anugerah Wanita 2007

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said disenaraikan antara 13 calon dalam Anugerah Wanita dan Sukan 2007 pada majlis makan malam sempena penyampaian anugerah itu di Arena Tertutup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 20 Julai ini.

Azalina dicalonkan oleh Pengarah Eksekutif Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita Malaysia (WSFFM), Dr. S. Shamala atas jasa beliau sebagai antara tokoh pengasas yayasan, perintis Sukan Wanita Kebangsaan dan banyak mempengaruhi pembabitan wanita dalam sukan.

Tiga lagi anugerah yang dipertandingkan pada majlis yang bakal dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah selain anugerah kemuncak, Anugerah Wanita dan Sukan Terbaik ialah Anugerah Pembangunan Akar Umbi Wanita dan Sukan, Anugerah Kepimpinan Wanita dan Sukan dan Anugerah Kewartawanan Wanita dan Sukan.

Yang Naziah Alif dari Persatuan Bola Sepak Wanita Perak pula mencalonkan bekas pemain bola sepak wanita negara pada Kejohanan Asia 1980-an, Normala Rashid yang kini Ketua Unit Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam salah satu daripada anugerah berkenaan.

Turut dicalonkan ialah pemanah kebangsaan dari Majlis Sukan Angkatan Tentera, Siti Aishah Sudin yang mewakili Malaysia sejak 1991 hingga kini, pernah menyertai petanque Sukan SEA 2001 selain memungut sebutir emas, dua perak dan dua gangsa sirkit Asia.

Calon lain ialah Rahika Abd. Samad (bola jaring), Nurul Izzatti Yati Abdullah (pingpong), Zarina Nordin (petanque), Sapiah Pilus (menembak), Che Zawiyah Bahari (bola jaring), Teh Lah Hoong (gimnastik), Teoh Tay Wah (olahraga), Chee Shin Lian (pingpong), Kok Mong Lin (gimnastik) dan Chee Geok Soong (hoki).

Utusan Malaysia

No comments: