Thursday, 25 January 2018

ISN perlu atasi koleksi emas di Glasgow, Incheon

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) menegaskan kontinjen negara yang akan bertanding di Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun ini perlu mengatasi pencapaian dalam edisi terdahulu.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, jumlah pungutan pingat terutama emas perlu lebih baik kerana rata-rata atlet negara yang beraksi di kedua-dua temasya sukan itu berada di bawah Program Podium seliaan badan induk itu.

"Memang sepatutnya begitu kerana kita sudah ada Program Podium di mana kami memberikan pelbagai perkhidmatan sains sukan kepada setiap atlet.
"Jadi, tiba masanya untuk setiap atlet menunjukkan prestasi lebih baik jika dibandingkan dengan edisi sebelum ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Malah Abdul Azim menegaskan, pihaknya menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga sudah meletakkan indeks prestasi utama (KPI) dengan kontinjen negara disasarkan menamatkan saingan di kedudukan 10 negara terbaik di kedua-dua temasya sukan itu.
"Jadi untuk mencapai KPI ini, segala-galanya pasti bergantung kepada pencapaian atlet.
"Kalau mahu mencapai sasaran 10 terbaik ini, kita perlu memenuhi sasaran yang ditetapkan. Bermaksud setiap atlet perlu sasarkan pingat emas dan jangan tumpukan kepada perkara lain," katanya.

Sukan Komanwel akan berlangsung di Gold Coast, Australia dari 4 hingga 15 April ini sementara Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, Indonesia berlangsung dari 18 Ogos sehingga 2 September.

Empat tahun lalu di Glasgow, kontinjen Sukan Komanwel negara berjaya meraih 6 emas, 7 perak dan 6 gangsa sementara pada Sukan Asia di Incheon, Malaysia meraih 14 emas, 5 perak dan 14 gangsa.

No comments: