Tuesday, 26 November 2013

Teong Kim sasar layak ke Piala Dunia Bawah 17 pada 2019


KUALA LUMPUR - Pengarah Projek Pembangunan Program Bola Sepak Negara, Lim Teong Kim memberi gambaran awal tentang tugas yang perlu dilakukannya dan dalam masa yang sama meletakkan sasaran agar Malaysia berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun pada 2019.

Teong Kim berkata, antara perancangan jangka panjangnya adalah melihat pemain remaja yang dicungkil bakat melalui program tersebut mampu untuk bersaing dengan kuasa besar lain di Piala Dunia Bawah 17 Tahun dengan syarat mampu beraksi cemerlang di peringkat kelayakan pada 2017.

"Pelan kami sekarang ini adalah membahagikan kepada lima zon, utara, selatan, timur dan barat serta Sabah, Sarawak bagaimanapun ia bergantung kepada perkembangan pusat pembangunan di setiap zon serta tenaga kerja yang ramai perlu digunakan," katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Program Bola Sepak Negara di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.

Bekas pemain kelab Hertha Berlin, Jerman itu berkata, antara intipati dalam pelan jangka panjangnya adalah menyediakan pembelajaran buat jurulatih, ini bermakna bukan perkembangan pemain sahaja perlu dititikberatkan tetapi jurulatih haruslah mempunyai ilmu bola sepak sebaik mungkin.
"Pembangunan dan pembelajaran jurulatih adalah kekurangan kita sekarang ini dalam mendidik pemain di peringkat remaja.

"Ia amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan corak latihan orang dewasa kerana jika salah kita mungkin akan memusnahkan seseorang pemain remaja itu dengan mudah sekali baik dari fizikal mahupun mental.

"Sekarang ini kita hanya memiliki empat pendidik jurulatih dan masih lagi ingin menambah bilangannya untuk memperkembangkan lagi projek ini.

"Saya juga memerlukan bahagian pencari bakat serta jurulatih ketahanan, barulah semuanya lengkap. Ia ditambah dengan pakar nutrisi Institut Sukan Negara (ISN), pakar psikologi dan juga pakar sains sukan," kata bekas jurulatih remaja, Bayern Munich itu lagi.

Ditanya adakah individu dari Eropah atau Bayern Munich juga akan dibawa untuk membantunya menjayakan projek ini, Teong Kim berkata, buat masa sekarang perkara tersebut tiada dalam fikirannya.

"Apa yang penting ialah infrastruktur dalam pembangunan bola sepak, sekarang kami juga untuk menaiktaraf padang bola sepak sekolah di seluruh negara.

"Sudah tentu berbeza dengan Jerman yang sudah mempunya infrastruktur, mereka cuma perlu menumpukan perhatian kepada jurulatih dan pemain sahaja," katanya.




Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Sukan/20131126/su_08/Teong-Kim-sasar-layak-ke-Piala-Dunia-Bawah-17-pada-2019#ixzz2lijYxMVy

No comments: