Thursday, 10 October 2013

‘Kesilapan kami bukan ISN’

‘Kesilapan kami bukan ISN’  
Razlan (kiri) bersama Zulfahmi ketika tiba di KLIA.
 
Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali menegaskan pihaknya langsung tidak berniat untuk mengkritik atau menghentam Institut Sukan Negara (ISN) berhubung keputusan membawa pulang Zulfahmi Khairuddin.

“Saya ingin menjelaskan saya tidak menggunakan kata-kata atau berhasrat menggunakan kata-kata berbentuk kritikan atau menghentam ISN. Keputusan membawa pulang Zulfahmi ke Malaysia adalah keputusan bersama dan pasukan untuk rawatan dan pemulihan.


Langkah proaktif ISN

“Oleh kerana ISN tidak mempunyai pengalaman luas berhubung rawatan membabitkan kecederaan sukan permotoran, kami merasakan lebih baik Zulfahmi kekal di Sepanyol selepas pembedahan untuk prosedur pemulihan intensif. Ini adalah situasi kami mencubanya, dan ia kesilapan kami dan bukan ISN,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Bagaimanapun, SIC gembira dengan langkah proaktif ISN yang mewujudkan jabatan sukan permotoran bagi memastikan program lebih baik dapat dilakukan jika terdapat pelumba kebangsaan menghadapi situasi sama.

Untuk Grand Prix Malaysia hujung minggu ini, CEO ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menyediakan enam ahli fisioterapi dan pakar sains sukan untuk menyediakan rawatan komprehensif kepada Zulfahmi dan dua lagi pelumba ‘wildcard’ negara, serta bagi menjalankan penyelidikan untuk memahami persekitaran sukan permotoran berhubung kecederaan dan rawatan.


Profesional jalan tugas

“Terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Dr Ramlan kerana memberi perhatian khusus kepada Zulfahmi dan rancangan ISN untuk menubuhkan jabatan sukan permotoran. ISN begitu profesional dalam melaksanakan tugas mereka dan tentunya mereka memberi perhatian kepada Zulfahmi.

“Kerja dan sumbangan mereka terhadap arena sukan negara terutamanya membabitkan bola sepak dan olahraga, amat dihargai. Saya harap Zulfahmi cepat pulih dan kita juga terus memberikan sokongan kepada lima lagi pelumba negara,” katanya.



Oleh Mohd Fitrie Muhamad  - Berita Harian

No comments: