Wednesday, 28 August 2013

Jangan bagi alasan lapuk

KUALA LUMPUR - Kegagalan atlet negara dalam ujian doping tidak sewajarnya berlaku kerana pendedahan mengenainya telah diberikan sejak peringkat Sukan Malaysia (Sukma) lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz (gambar) berkata, sebelum Sukma berlangsung, sebuah program 'outreach' telah diadakan yang bertujuan untuk memberikan penjelasan kepada atlet mengenai perjalanan proses ujian berkenaan.

"Semasa program 'outreach', ISN telah memberitahu tentang maklumat-maklumat asas yang penting termasuk proses ujian antidoping serta jenis-jenis dadah terlarang walaupun ia dikategorikan mengandungi dos rendah.

"Selain itu, pihak ISN juga telah mengingatkan kepada mereka (atlet) supaya tidak mengambil sebarang ubat-ubatan atau suplemen kecuali daripada pegawai perubatan sukan yang bertauliah walaupun ia merupakan herba tradisional kerana kemungkinan besar mereka tidak pasti lagi tentang kandungannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Beliau mengulas persoalan sama ada terdapat garis panduan daripada ISN kepada atlet-atlet negara selama ini mengenai bahaya penggunaan ubat-ubatan, suplemen atau herba tradisional walaupun mengandungi dos rendah dan langkah-langkah yang telah diambil serta akan diambil pihaknya untuk menangani masalah kegagalan ujian antidoping tersebut.

Sementara itu, kata Dr. Ramlan, ISN tidak sesekali memandang ringan perkara ini dan sentiasa mengambil pelbagai langkah untuk menangani permasalahan yang berlaku.

"Antaranya, menggiatkan program kesedaran pendidikan, mengadakan lebih banyak ujian antidoping ketika di luar pertandingan termasuk bekerjasama dengan pihak-pihak terbabit dalam usaha menangani bekalan bahan-bahan terlarang seperti steroid anabolik dan ubat perangsang kepada mereka," ujarnya.

Menurut Dr. Ramlan, ISN juga bakal memperkenalkan kaedah baharu iaitu 'athlete's biological passport' di mana sampel darah mereka akan diuji secara berkala untuk mengesan pola penyalahgunaan dadah seperti steroid anabolik yang mungkin sukar dikesan melalui ujian rambang.
Tambahnya, pihak kejurulatihan, pengurus pasukan, pegawai-pegawai dan pihak persatuan sukan perlu memberi kerjasama dengan memantau rapi amalan serta tabiat di kalangan atlet masing-masing kerana mereka semestinya lebih memahami tentang sikap yang ditunjukkan.

Katanya, atlet juga perlu sedar bahawa amalan kaedah saintifik dalam proses persediaan untuk menghadapi perlawanan adalah pilihan yang lebih bijak untuk mencapai prestasi optimum kerana biarlah kejayaan yang diperoleh itu hadir daripada kaedah latihan yang tulen dan bukannya melalui bahan-bahan rangsangan.



Oleh DHIYA'ZULHILMI DAUD
sukan@utusan.com.my

No comments: