Thursday, 24 May 2012

Kecederaan Chong Wei Tidak Serius, Dijangka Sembuh Dalam Masa Sebulan - ISN

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei dijangka sembuh sepenuhnya dalam masa empat minggu lagi selepas mengalami kecederaan buku lali kanan pada pusingan akhir Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China, Selasa lalu.

Ditemani abangnya Lee Chong Eng, Chong Wei yang berkerusi roda kelihatan tenang selepas menjalani imbasan 'Magnetic Resonance Imaging' (MRI) dan X-ray pagi tadi di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata pemeriksaan yang dilakukannya bersama dua pakar ortopedik iaitu Dr Saw Khay Yong dan Dr Nicholas Geary, mendapati kecederaan Chong Wei tidak akan mengambil masa lama untuk sembuh.

"Selepas melakukan imbasan MRI, kita dapat gambaran jelas mengenai tahap kecederaan Chong Wei dan beliau didapati tidak mengalami kecederaan serius.

"Saya berharap Chong Wei mampu mengatasinya dan boleh kembali ke kancah perlawanan secepat mungkin," katanya kepada pemberita di sini.

-- BERNAMA

No comments: