Wednesday, 21 March 2012

Piala Axiata - Chong Wei tarik diri!

JALANI PEMERIKSAAN...Chong Wei  (kanan) dan  Seu Bock tiba di  Hospital Pakar Damansara untuk jalani ujian imbasan MRI di Jabatan Pengimejan Diagnostik, semalam.
JALANI PEMERIKSAAN...Chong Wei (kanan) dan Seu Bock tiba di Hospital Pakar Damansara untuk jalani ujian imbasan MRI di Jabatan Pengimejan Diagnostik, semalam. 
 
KECEDERAAN bahu yang dialami Datuk Lee Chong Wei menyebabkan pemain itu memutuskan untuk tidak beraksi di saingan peringkat kumpulan Piala Axiata hujung minggu ini.

Chong Wei yang ditemui selepas melakukan ujian imbasan MRI di Jabatan Pengimejan Diagnostik Hospital Pakar Damansara, semalam berkata, dia perlu mengelak bermain hingga Institut Sukan Negara (ISN) mengesahkan dia bebas daripada kecederaan.

“Ujian imbasan hari ini (semalam) akan dihantar ke ISN dan saya rasa tidak sempat untuk beraksi pada Piala Axiata hujung minggu ini dan saya tidak akan turut serta,” kata Chong Wei.

Ketika ditanya sejauh mana kecederaan bahu kanannya itu, Chong Wei berkata: “Mana saya tahu saya cedera macam mana, saya bukan doktor. Tanyalah doktor sendiri, lagipun saya hanya menjalani ujian imbasan hari ini.” Chong Wei melakukan ujian imbasan itu sambil diiringi jurulatihnya, Tey Seu Bock serta dua fisioterapi FAdzil Salleh dan Li Da Zhi..

Berikutan ketiadaan Ketua Pengarah ISN Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz yang baru pulang dari Dublin, Ireland dan doktor pakar, Profesor John George yang sentiasa menjadi rujukan Chong Wei sebelum ini, berada di Pulau Pinang, ujian imbasan Chong Wei itu dipantau pakar radiologi, Dr Thajunnisa Hassan.

Bagaimanapun ketika diminta mengulas kemungkinan dia beraksi di pusingan akhir Piala Thomas, Chong Wei enggan mengulas perkara itu.

Sementara itu, Seu Bock berkata, kecederaan yang dialami pemainnya itu memberi pengajaran berguna ketika berdepan Lin Dan pada final Seluruh England.

“Bagi saya Chong Wei kini tahu dia tidak semestinya menyerang untuk memungut mata ketika berdepan Lin Dan. Lihat saja pada set pertama, dia mampu memberi saingan sengit dan membuatkan Lin Dan bingung kerana Chong Wei langsung tidak melakukan smash,” kata Seu Bock.

Biarpun Chong Wei belum menjalani latihan sejak pulang ke tanah air dari Basel, Switzerland Sabtu lalu, Seu Bock berkata, pemain itu tetap perlu menjalani latihan ringan meskipun tanpa mengangkat raket.

“Chong Wei akan mula berlatih esok (hari ini) dengan melakukan kecergasan fizikal seperti joging. Malah dalam tempoh baki hampir empat bulan dia tetap perlu mengasah lagi kemahiran untuk memastikan buruan emas di Olimpik menjadi kenyataan.” Ketiadaan Chong Wei membuka peluang kepada Muhd Hafiz Hashim untuk beraksi selaku perseorangan pertama saingan peringkat kumpulan K, Piala Axiata yang bermula Jumaat ini di Stadium Badminton Cheras.



HARIAN METRO

No comments: