Turun pada perlawanan yang tidak memberi sebarang makna, skuad negara jelas tidak mempamerkan aksi 100 peratus selepas terlalu kecewa dengan kegagalan untuk mara ke pentas final apabila sekadar seri 1-1 kepada Ireland kelmarin.
Kemenangan semalam tidak menggembirakan sebilangan kecil penyokong skuad negara, malah langsung tiada kelibat barisan penyokong VIP kecuali Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.
“Baik menang atau kalah, saya tetap akan menyokong skuad negara. Kehadiran saya adalah untuk menenangkan mereka,” kata Ramlan yang hanya akan pulang ke tanah air hari ini.
Penyerang negara, Azlan Misron meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-12 menerusi jaringan padang selepas berlaku keadaan kelam-kabut di depan gol Russia.
Muhammad Razie Abd Rahim meletakkan skuad negara pada kedudukan lebih selesa selepas menyumbang gol kedua lima minit kemudian hasil pukulan sudut penalti.
Hafifihafiz Hanafi hampir menyumbang gol ketiga, namun dua peluang terhidang di depan gol Russia disia-siakan begitu saja tetapi Razie kemudian berjaya menambah gol kedua peribadinya semalam tiga minit sebelum tamat perlawanan menerusi pukulan sudut penalti.
Bersambung babak kedua, skuad negara yang selesa mendahului 3-0 bergelut pada awal permainan selepas Russia melakukan asakan demi asakan di dalam kawasan D skuad negara.
Izwan Firdaus menambah gol keempat pada minit ke-47 menerusi jaringan padang sebelum Nikolay Komarov menyumbang gol pertama Russia pada minit ke-62. Hafifihafiz meledak gol kelima pada minit ke-65 menerusi jaringan padang sebelum Faizal Saari meledak gol keenam dua minit sebelum tamat perlawanan, juga menerusi jaringan padang.
HARIAN METRO
No comments:
Post a Comment