Friday, 23 March 2012

Chong Wei perlu elak aktiviti lasak

USAHA memastikan kecederaan bahu pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei nampaknya membataskan pemain itu daripada melakukan aktiviti lasak serta memerlukannya berehat untuk tempoh tiga hingga lima minggu daripada menyertai kejohanan.

Hal itu disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dalam sidang media yang diadakan di Bukit Jalil.

“Sekarang proses pemulihan kecederaan bahu Chong Wei memasuki minggu kedua, kita akan terus memantau perkembangan pemulihannya bagi mengelak keadaan bertambah teruk,” kata Ramlan.
Sebelum ini Chong Wei menyatakan pendirian tidak akan beraksi pada saingan peringkat kumpulan Piala Axiata hujung minggu ini, namun Ramlan khuatir pemain itu mungkin belum cukup bersedia untuk beraksi pada minggu depan seandainya skuad Malaysia Tiger mara ke separuh akhir.

“Seperti yang saya katakan, pemulihannya memakan masa tiga hingga ke lima minggu, tidak perlu lagi saya sebut sama ada dia boleh bermain atau tidak. Saya harap semua pihak memahaminya.

“Kita perlu ingat objektif utama adalah Olimpik bukan kepentingan lain. Minggu depan adalah minggu ketiga proses pemulihan dan saya tidak rasa dia sempat cergas untuk menyertai kejohanan.” Begitupun jurulatih yang bertanggungjawab ke atas Chong Wei, Tey Seu Bock berkata, pemainnya itu mungkin diturunkan di separuh akhir minggu depan sekiranya sudah pulih.

“Minggu ini dia tidak akan main, tapi mungkin minggu depan, bergantung kepada keinginan Chong Wei dan tahap pemulihan bahunya,” kata Seu Bock.

Namun selepas Ramlan meminta semua jurulatih berkerja sama memahami situasi dan mengambil kira pandangan daripada doktor dalam memastikan sasaran di London menjadi kenyataan, jurulatih itu menukar nada dengan berkata: “Saya akan bercakap dengannya (Chong Wei), saya tidak galakkan dia bermain bagi memastikan program pemulihan mengikut jadual.” Seu Bock berkata, Chong Wei sudah mula menjalani latihan ringan dan melakukan smash namun dalam kadar kekuatan yang terkawal.

Kecederaannya itu juga tidak memerlukan pembedahan, sekadar mengikut terapi yang diuruskan pakar fisioterapi ISN, Fadzil Salleh.

Pada masa ini, Fadzil menggunakan dua kaedah terapi dalam usaha merawat Chong Wei iaitu ‘Terapi Ultrasound dan Terapi Intrathecal’.



HARIAN METRO

No comments: