Wednesday, 8 February 2012

MPM Dan ISN Bekerjasama Mempersiapkan Atlet Para Remaja Negara

KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) dalam mempersiapkan atlet paralimpik remaja bagi menghadapi Sukan Remaja Para Asia ke-3 tahun depan.

Presiden MPM Datuk Zainal Abu Zarin berkata kepakaran dan penglibatan ISN dalam perkembangan atlet paralimpik amat diperlukan bagi memastikan kontinjen negara mampu memberi saingan kepada atlet negara lain.

"Pemilihan Malaysia menjadi tuan rumah bagi edisi kali ini patut kita banggakan kerana anggota-anggota APC memandang tinggi akan kemampuan negara untuk menganjurkan Sukan Para Remaja Asia," katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Malaysia sah menjadi tuan rumah Sukan Remaja Para Asia yang ke-3 dari 23 hingga 30 Okt 2013 setelah menerima undian paling banyak dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) dalam mesyuaratnya di sini tahun lepas.

Beliau berkata MPM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan beberapa badan kerajaan serta syarikat swasta dalam persediaan menganjurkan temasya itu.

Hari ini berlangsung majlis menandatangani perjanjian penganjuran temasya antara MPM yang diwakili Pengurus Besarnya Syed Mahadzir Syed Yassin dan APC yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Para Games APC Jia Yong.

Zainal berkata APC menetapkan beberapa syarat kepada negara dalam menjadi tuan rumah bagi kejohanan itu nanti bagi memastikan penganjuran temasya berjalan lancar.

"Malaysia perlu menyediakan kemudahan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) selain mempromosikan Sukan Remaja Para Asia melalui 'awareness right of OKU'," katanya.

Kejohanan Sukan Remaja Para Asia yang ke-3, Kuala Lumpur, Malaysia akan disertai 42 buah negara anggota APC dengan melibatkan 2,000 atlet bertanding dalam 14 acara sukan.




-- BERNAMA

No comments: