Tuesday, 29 November 2011

Pegawai antidoping perlu sensitif

KUALA LUMPUR - Pegawai antidoping yang ditugaskan untuk mengambil sampel urin atlet sebaik sesebuah perlawanan tamat, boleh menggunakan budi bicara mereka ketika melaksanakan tanggungjawab.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz berkata, ujian doping ke atas atlet selepas pertandingan merupakan prosedur biasa yang dilakukan ke atas atlet, namun, pegawai berkenaan kena menggunakan kebijaksanaan dan sensitiviti agar tidak timbul salah faham mana-mana pihak yang terlibat.

"Pendekatan itu amat penting, bagaimana ia dilaksanakan terpulang kepada pegawai berkenaan, tetapi tidak salah jika mereka menggunakan kebijaksanaan dan sensitiviti ketika menjalankan tugas masing-masing," katanya selepas menghadiri mesyuarat pertama ISN sebagai sebuah badan berkanun di Bukit Jalil, semalam.
Dr. Ramlan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden yang menimpa pemain skuad Harimau Muda yang diserbu pegawai antidoping sebaik tamat perlawanan bola sepak Sukan SEA menentang Indonesia di Jakarta, Isnin lalu hingga membangkitkan kemarahan jurulatih negara, Ong Kim Swee.

Menurut Dr. Ramlan, dalam situasi yang menimpa skuad kebangsaan, bagi mengelak sebarang salah faham, pegawai berkenaan sepatutnya terlebih dulu memaklumkan kepada pengurus pasukan bahawa mereka telah memilih beberapa pemain untuk dibuat ujian doping.

Jelasnya pendekatan yang lebih berhemah perlu digunakan kerana sejurus tamat perlawanan itu, upacara penyampaian pingat akan dilangsungkan. Justeru, mereka boleh menunggu sehingga majlis tersebut selesai.
Sementara itu, bercakap mengenai ISN sebagai badan berkanun, beliau berkata, ISN mempunyai perancangan jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang sains sukan dan juga pembangunan -bakat baru.

Malah katanya, jika menyentuh mengenai bajet, ISN merupakan sebuah institusi yang amat memerlukan peruntukan besar.

"Selain itu, kita juga berhasrat untuk meningkatkan bilangan kakitangan, terutama dalam kepakaran sains sukan dan juga hala tuju yang lebih strategik," ujarnya.

No comments: