Monday, 17 October 2011

PSM, ISN kaji teknik


TEKONG Pestans B, Mohd. Khaizir Said menjadi tumpuan ketika melakukan servis pada Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di di The Curve semalam.

PETALING JAYA - Tertarik dengan servis unik yang digunakan oleh tekong Persatuan Sepak Takraw Anak-anak Negeri Sembilan (Pestans) B, Mohd. Khaizir Said, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memberi perhatian kepada teknik pemain itu.
 
Malah, Ahmad Shabery turut menyifatkan Khaizir sebagai senjata rahsia yang membantu kemenangan pasukannya dalam kategori Terbuka Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011 di The Curve, Mutiara Damansara semalam.

"Saya rasa, pihak Persatuan Sepak Takraw Malaysia patut beri perhatian kepada tekong Pestans, Mohd Khaizir Said, kerana beliau mempunyai kemahiran servis yang tersendiri.

"Bukan sahaja teknik yang digunakan sangat baik, malah dia juga konsisten dalam setiap servis yang dilakukan," kata Ahmad Shabery selepas menonton peringkat akhir Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2011, semalam.

Malah, beliau juga mahu pihak Institut Sukan Negara (ISN) mengkaji teknik tersebut.

"Saya cadangkan ISN kaji servis Khaizir untuk diterapkan sebagai satu teknik baru dalam skuad kebangsaan dan pelapis,'' katanya lagi.

Ahmad Shabery juga menjelaskan, Kementerian Belia dan Sukan sedia mempertimbangkan untuk menganjurkan kejohanan sepak takraw kebangsaan, malah mengesahkan bahawa sukan itu akan dijadikan acara pada sambutan Hari Belia akan datang.

Ahmad Shabery mengucapkan tahniah kepada pihak KFC dan Utusan kerana kejayaan menganjurkan kejohanan yang yang mendapat sambutan menggalakkan dan berharap ia dapat diteruskan.
"Kita akan bincang dengan pihak yang berkaitan dana supaya dapat menyalurkan peruntukan untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan sepak takraw seperti ini."

Katanya lagi, kejohanan ini bukan saja mendapat sambutan hebat, malah mencipta sejarah kerana diadakan di sebuah pusat membeli belah.

"Ini kali pertama dalam sejarah sepak takraw, kejohanan diadakan di pusat membeli belah, ia sangat menarik," katanya.


UTUSAN MALAYSIA

No comments: