Thursday, 14 July 2011

PHM congak langkah lebih awal - KOSMO


IMBAS KEMBALI... Skuad hoki kebangsaan meraih pingat perak pada Sukan Asia di Guangzhou, China.


BARISAN pemain hoki kebangsaan akan menjalani beberapa siri ujian dengan pihak Institut Sukan Negara (ISN) bagi menganalisis tahap kecergasan dan stamina mereka ketika mengadakan aksi persahabatan pada bulan puasa, Ogos depan.

Siri ujian tersebut membabitkan lima perlawanan persahabatan dengan Jepun di Kuala Lumpur sebagai persiapan awal jika Malaysia layak beraksi pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Setiausaha Kehormat Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Maninderjit Singh berkata, ISN akan mengumpul data dan maklumat kesemua pemain negara dalam lima ujian perlawanan tersebut.
“Ujian ini amat penting kerana pertama sekali, Sukan Olimpik 2012 di London akan berlangsung ketika bulan puasa (mengikut kalendar Islam) tahun depan.

“Seandainya kita layak pada temasya Olimpik nanti, kita sudahpun memiliki data dan maklumat mengenai kajian terhadap tahap stamina dan kecergasan pemain negara ketika beraksi sambil berpuasa.
“Jadi, PHM akan bekerjasama dengan ISN dalam menjalankan ujian tersebut pada lima perlawanan persahabatan menentang Jepun di Kuala Lumpur bulan depan,” kata Maninderjit semalam.

Selepas memenangi pingat perak pada Sukan Asia di Guangzhou, China, November lalu, Maninderjit berkata, sasaran Malaysia pada tahun ini pula ialah muncul lima pasukan terbaik dalam Cabaran Juara-Juara I yang akan berlangsung di Johannesburg, Afrika Selatan bermula 26 November hingga 4 Disember depan.
“Kita perlu menduduki kelompok lima pasukan terbaik pada saingan itu nanti sekiranya mahu layak pada edisi tahun depan.

“Saingan di peringkat kumpulan tidak diambil kira kerana kesemua pasukan akan layak ke suku akhir.
“Tetapi di peringkat kalah mati, kalau kita kalah, kita tersingkir. Jadi, untuk mendapatkan rentak yang baik, Malaysia perlu beraksi dengan baik walaupun dalam peringkat kumpulan,” katanya.

Pada Cabaran Juara-Juara I, Malaysia berada dalam Kumpulan B bersama Kanada, Argentina dan Jepun, manakala Kumpulan A dibarisi New Zealand, Afrika Selatan, Belgium dan Poland.
Kejohanan itu juga dilihat sebagai persiapan terbaik bagi kempen Kelayakan Olimpik 2012 yang diadakan di tiga gelanggang berbeza awal tahun depan. - KOSMO

No comments: