Thursday, 18 February 2010

Sheikh Ahmad 'buka peluang' Malaysia


IMPIAN menyaksikan Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Sukan Asia 2019 tampak terbuka andai cadangan daripada Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah diterima ahli gabungan badan induk itu.

Hujah oleh beliau adalah menganjurkan Sukan Asia selang dua tahun iaitu pada 2017 dan 2019 dengan temasya 2017 akan diberi kepada Dubai - bandaraya yang difahamkan turut berminat menganjurkan Sukan Asia 2019. Ia bererti dua tahun kemudian giliran Kuala Lumpur pula untuk mengelolakan temasya berkenaan.

Apapun, selepas itu Sukan Asia akan kembali dianjurkan empat tahun sekali dengan edisi berikut pada 2023.

Difahamkan cadangan ini adalah antara perkara dibincangkan ketika pertemuan antara Sheikh Ahmad Al-Fahad dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek ketika kedua-dua pemimpin itu bertemu di Vancouver, Kanada, minggu lalu.

Walaupun cadangan ini belum dapat disahkan, namun jika diterima Kuala Lumpur, bermakna ibu negara Malaysia sudah hampir pasti akan menjadi tuan rumah Sukan Asia 2019 - selepas kecundang kepada Doha dalam perebutan 2006 dan menarik diri pada saat akhir bidaan untuk Temasya 2010.

Difahamkan cadangan Sheikh Ahmad Al-Fahad adalah untuk mengelakkan persaingan antara bandaraya yang berminat menganjurkan Sukan Asia kerana kebelakangan ini didapati saingan sengit bidaan menimbulkan pergeseran antara bandaraya terbabit.
Ia juga diharapkan dapat mengelakkan daripada bandaraya yang berminat mengalami kerugian besar apabila kalah dalam bidaan kerana terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi ketika proses membuat penawaran.

Bagaimanapun, cadangan drastik ini mungkin menimbulkan banyak masalah terutama sekali daripada logistik dan kewangan serta negara Asia terpaksa bersaing dalam temasya besar yang hanya selang dua tahun antara satu sama lain.

Kuala Lumpur, sebelum ini sudah pun mengemukakan surat hasrat kepada OCA untuk menjadi tuan rumah 2019 dengan saingan utama dikatakan dari Dubai iaitu ibu negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Hong Kong.

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my

No comments: