Tuesday, 5 January 2010

Cubaan kali ketiga Malaysia rebut hak jadi tuan rumah Sukan Asia XVIII pada 2019



KUALA Lumpur tampak akan berdepan dengan Hong Kong bagi persaingan merebut hak tuan rumah Sukan Asia XVIII pada 2019.

Hong Kong dilaporkan berminat untuk menganjurkan temasya serantau itu dan sudahpun mendapat sokongan daripada kerajaannya, yang yakin dengan kebolehan bekas jajahan British itu untuk menganjurkan sukan yang dianggap kedua terbesar selepas Sukan Olimpik.


Kuala Lumpur, sebelum ini sudah mendahului bandar raya lain dalam usaha membida untuk temasya XVIII apabila menghantar surat hasrat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA).

Terdahulu, Setiausaha Dalam Negeri Hong Kong, Tsang Tak-sing dipetik sebagai berkata Hong Kong mempunyai keupayaan menganjurkan Sukan Asia.

“Sudah tentu Sukan Asia lebih besar daripada Sukan Asia Timur, tetapi Hong Kong berkeupayaan untuk menganjurkannya,” kata Tsang, yang dipetik sebagai berkata dalam laman sesawang OCA.
“Ia adalah keputusan Jawatankuasa Sukan dan Olimpik untuk menentukan sama ada kami membida untuk Sukan Asia 2019. Bagi pihak kerajaan, kami perlu menunggu keputusan mereka. Perkara itu sudah saya bangkitkan secara tidak langsung dengan mereka.

“Secara peribadi, saya yakin Hong Kong mempunyai keupayaan menganjurkan Sukan Asia 2019,” katanya.

Bagi Kuala Lumpur pula, ini kali ketiga percubaan mereka untuk menganjurkan Sukan Asia selepas gagal kali pertama untuk kelolaan Temasya 2006 yang menjadi milik Doha, manakala usaha untuk mendapatkan hak 2010 terpaksa dilupakan pada saat akhir selepas tidak mendapat sokongan kerajaan.

No comments: